Categories
SELANGOR

Guan Eng : Lebih 600 Usahawan Dapat Manfaat Skim mikrokredit PTSR

SHAH ALAM 8 MEI : Kerajaan Pulau Pinang telah mengeluarkan lebih RM2.3 juta bagi membantu peniaga-peniaga di bawah skim mikro kredit di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR).

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, setakat April 2012, seramai 662 peminjam telah mendapat manfaat dari skim PTSR ini yang dikeluarkan menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan pula adalah sebanyak RM2,319,630.40,” ulas Guan Eng di dalam sesi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Adun Sungai Bakap, Makhtar Shapee.

Skim tersebut khusus untuk peniaga-peniaga yang mengusahakan perniagaan sayuran, ikan dan ayam proses sama ada di pasar malam atau pasar tani.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut membantu pengusaha kecil menerusi PDC dan SMART Centre dalam bentuk khidmat nasihat, kursus, bengkel, seminar dan latihan keusahawanan.

“Sehingga April 2012, seramai 1,463 orang usahawan telah dibantu bagi mempertingkatkan pengetahuan mereka.

“Usaha ini juga bagi mempersiapkan mereka untuk bergelar usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam menjalankan sesuatu perniagaan,” jelas beliau lagi.

Guan Eng berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan saranan daripada Makhtar bagi memperluaskan skim tersebut kepada pengusaha pertanian dan penternakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.