Categories
NASIONAL

MB: JKKK Perlu Tingkat Kualiti Pentadbiran

SHAH ALAM, 10 MEI : Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung(JKKK) diminta Dalam terus berusaha meningkatkan lagi kualiti pentadbiran di peringkat akar umbi bagi memastikan kemajuan Selangor berjalan lancar.

“Perlu diingat bahawa pengurusan negeri yang maju adalah bermula daripada kecekapan pentadbiran peringkat akar umbi khususnya peringkat kampung.

“Tanpa kerjasama yang erat antara semua pihak, jentera pentadbiran negeri Selangor tidak mungkin dapat digerakkan dengan lancar dan berkesan,” jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru di Bangunan SUK, di sini hari ini.

Di samping itu juga, Abdul Khalid memaklumkan selama empat tahun mengambil alih pentadbiran Selangor, kerajaan negeri berjaya menunaikan hampir kesemua janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) lalu untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Janji itu meliputi pemberian pelbagai bantuan kepada rakyat menerusi 17 program dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan ditambah baik melalui peruntukan geran Selangorku bagi faedah golongan pelbagai peringkat.

“Manfaat itu tidak hanya terhad kepada penduduk bandar sahaja, tetapi turut merangkumi penduduk luar bandar termasuk kampung baru (bagan) dan kampung tersusun,” jelasnya.

Menurutnya, manfaat yang diperuntukkan itu juga adalah jauh lebih baik berbanding bantuan yang diperuntukkan kerajaan Umno-BN sejak sekian lama memerintah Selangor.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat selari dengan dasar dan matlamat kerajaan negeri iaitu hasil negeri untuk rakyat.

“Oleh itu, saya berharap pengerusi JKKK memberi perhatian terhadap program-program yang dijalankan kerajaan negeri serta memastikan maklumat ini sampai kepada penduduk kampung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.