Categories
NASIONAL

MB : Pusat didesak struktur semula air Selangor

SHAH ALAM 9 MEI : Kerajaan Negeri hari ini mendesak Kerajaan Pusat untuk segera melakukan penstrukturan semula industri pembekalan air di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu juga digesa sebagai menghormati teguran DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar isu air tidak dipolitikkan.

“Justeru, kita mendesak Kerajaan Pusat untuk turut mengambil kira teguran DYMM Sultan Selangor dan melaksanakan segera penstrukturan semula industri pembekalan air seperti yang diperuntukkan Akta Industri Pembekalan Air 2006 (Wsia).

“Ini penting untuk membolehkan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan air,” jelas Abdul Khalid dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau turut menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui memainkan peranan mengikut bidang kuasanya untuk kepentingan rakyat Selangor khususnya.

“Harap beliau tidak berdolak dalih lagi dan memastikan syarikat konsesi memberi persetujuan kepada rancangan penstrukturan semula yang dibentangkan kerajaan negeri.

“Sebelum ini, kita juga sudah menawarkan penyelesaian arbitrasi antarabangsa (International Arbitration) dan sepatutnya syarikat konsesi tidak mempunyai masalah untuk menerima tawaran tersebut kerana ia amat munasabah,” ulas beliau lagi.

Sambil mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air di Selangor, beliau menyeru kerjasama semua pihak agar perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan.

Menurut Abdul Khalid, perkhidmatan yang baik akan mengekalkan tarif air pada kadar munasabah seterusnya dapat meneruskan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan seperti yang sedang dinikmati penduduk Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.