Categories
SELANGOR

Pelajar Cemerlang Gembira, Pinjaman Ditukar Kepada Biasiswa

KUALA KUBU BHARU,20 MEI : Pelajar Terbaik Peringkat Ijazah 2011,  Syahidah Ismail gembira dan tidak menyangka akan menerima anugerah kecemerlangan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2011 di sini semalam.

Syahidah yang menerima Pinjaman Tanpa Faedah daripada Yayasan Selangor sebanyak RM10,000 menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mendapat Ijazah Kelas Pertama dengan memperolehi PNGK 3.58.

Hasil kejayaannya membuahkan hasil apabila kini Syahidah bekerja selaku Eksekutif Perhubungan Awam di Puncak Niaga Sdn Bhd.

“Saya gembira dan berterima kasih yang amat sangat, sebelum ini saya menerima pinjaman tanpa faedah daripada Yayasan Selangor pun sudah saya gembira kemudian kini pinjaman itu ditukar kepada biasiswa maka saya bertambah gembira.

“Ia membantu saya, sebab baru memulakan kerja dan apabila pinjaman itu ditukar kepada biasiswa ia amat mengembirakan kerana mengurangkan bebanan,” katanya ketika ditemui.

Manakala Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, Anith Syazana Awaluddin, pihak Yayasan Selangor banyak membantu memberikan bantuan pendidikan sehingga berjaya memperolehi 9A dalam peperiksaan SPM dan memasuki Program Asasi ( Farmasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Syazana yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mendapat 5A mendapat tajaan Yayasan Selangor di bawah Program Khas Rancangan Khas Pendidikan KPM-YS.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama.

“Saya rasa terharu dengan kejayaan ini, rahsia kejayaan saya ialah berusaha dengan sebaik mungkin dan tawakkal kepada Allah.

“Saya belajar di bawah Yayasan Selangor sejak Tingkatan Satu lagi, dan sejak itu Yayasan Selangor menaja pelajaran saya.

“Terima kasih kepada Yayasan Selangor kerana mencarikan sekolah yang bagus, malahan untuk tuisyen pihak Yayasan Selangor juga menanggungnya, ia membantu dalam mempertingkatkan prestasi,” katanya.

Sementara itu, ibu Syazana berkata anaknya beruntung kerana diberi peluang menerima tajaan Yayasan Selangor kerana untuk memasuki sekolah yang berprestij di Damansara memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Selangor dan kerajaan negeri kerana menerima anak saya memasuki Yayasan Selangor dan banyak bantuan yang telah diberikan kepada anak saya dalam mempertingkatkan mutu pendidikan,” kata Zarina Ruslan.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor itu dihadiri kira-kira 200 penjaga dan pelajar Yayasan Selangor yang diadakan di Kem Bina Semangat, Ampang Pecah di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.