Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : PTPTN Usaha BN Tawan Selangor Makin Tipis

SHAH ALAM, 8 JUN : Tindakan Kerajaan Umno-BN mengarahkan pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) disifatkan sebagai usaha terdesak parti itu untuk menawan semula Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, keputusan membekukan pinjaman PTPTN kepada para pelajar dianggap keterlaluan, malah tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Perkara ini jelasnya, menunjukkan kerajaan Umno-BN mula mula beralih fokus kepada mempertahankan Kerajaan Pusat kerana keyakinan untuk mendapatkan semula Selangor semakin tipis.

“Tindakan kerajaan Umno-BN itu menandakan bermulanya perang terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor dengan menjadikan pelajar Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai mangsa.

“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mengarahkan permohonan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dibekukan dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yasin) serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Noh Omar),” katanya.

Tambahnya, sikap berdolak-dalik PTPTN yang membenarkan semula pelajar Unisel memohon pinjaman selepas beberapa hari isu itu dibangkitkan adalah disebabkan kecaman pelbagai pihak termasuk ahli Umno-BN sendiri yang menentangnya kerana menganiaya pelajar Melayu.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa semua negeri di Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang saksama, tidak kira negeri itu ditadbir pembangkang mahupun pemerintah yang menepati konsep Federalisme.

“Rakyat Selangor atau penduduk di Selangor membayar cukai lebih RM90 billion kepada Persekutuan atau 23% daripada pendapatan negara. Bagaimanapun, hanya RM370 juta sahaja diagihkan kepada Selangor dalam bentuk pelaburan pembangunan.

“Nilai ini sama sekali tidak sepadan dengan sumbangan yang diberikan Selangor kepada pembangunan negara. Jelas sekali, Persekutuan mengamalkan diskriminasi melampau terhadap Negeri Selangor,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.