Categories
NASIONAL SELANGOR

MIC Didakwa Hasut Penduduk Tolak Pembangunan

KUALA SELANGOR 9 JUN : Kegigihan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyalurkan kemudahan insfrastruktur di Kampung Sri Aman Coalfield diuji lagi apabila beberapa pemimpin BN Kuala Selangor makin giat menghasut penduduk kampung berkenaan agar tidak memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri.

Demikian menurut Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, Thiru Moorthy ketika mengulas percubaan beberapa pemimpin BN daripada MIC untuk menghasut penduduk kampung berkenaan isu hak milik tanah di kampung itu.

“Nampaknya beberapa orang ini memang berusaha hasut penduduk kampung agar menolak rancangan pembangunan di kampung ini yang mahu dibawa oleh Kerajaan Negeri,” kata Thiru.

Menurut Thiru, masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Selangor dalam isu ini berpunca dari tindakan pemimpin BN sendiri ketika berkuasa.

“Masalah pemilikan tanah ini berpunca dari BN juga kerana merekalah yang menghalau penduduk kampung pada tahun 2000 apabila menyerahkan tanah kampung itu kepada West Mines Sdn Bhd untuk dimajukan, tiba-tiba sekarang nak jadi hero konon membela penduduk kampung.

“Mengapa BN 20, 30 tahun lalu ketika berkuasa mereka tidak memberi hak milik kepada penduduk, tetapi mereka halau penduduk dan serahkan tanah itu kepada West Mines Sdn Bhd,” beritahu Thiru kepada Selangor Kini.

Thiru berkata, BN telah menjadikan isu ini sebagai modal memancing undi setiap kali menjelang pilihan raya sebelum ini.

“Sudahlah begitu, tiap kali ada pilihan raya, masyarakat kampung ini akan dijanjikan diberi semula tanah dan geran termasuklah ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke 11 pada 2004 lalu, tetapi tidak ditunaikan.

“Lepas itu, sekali lagi dalam pilihan raya kecil tahun 2007, Parthiban (Ketua MIC Kuala selangor) dan Datuk Seri Samy Velu datang lagi ke kampung ini menabur janji sama juga BN menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam PRU-12 2008 lalu pun macam itu juga, tetapi masyarakat kampung sudah pandai, tak termakan janji mereka lagi.

“Malah pada masa itu mereka memberikan surat tawaran yang tidak laku kerana tidak memiliki nombor lot dan saiz keluasan, hanya cuba memperbodohkan penduduk kampung,” ujar beliau kepada Selangor Kini.

Ketika itu, berbekalkan surat tawaran tersebut, beberapa penduduk pergi ke Pejabat Tanah Kuala Selangor untuk membayar premium tanah tetapi telah ditolak kerana surat tawaran tersebut tidak memiliki nombor lot dan keluasan tanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.