Categories
NASIONAL

Rumah Kos Rendah di P.Pinang, MCA Cuba Alih Isu

SHAH ALAM 14 JULAI : Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek perlu berhenti mengelirukan rakyat mengenai perumahan kos rendah di Pulau Pinang yang didakwa tidak pernah dibina Kerajaan Negeri itu sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Chua dalam debat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tempoh hari disebut berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membina perumahan kos rendah sejak 2008 hingga 2010.

“Beliau membuat tuduhan ini beberapa kali dengan mengatakan tanah terhad serta kos yang semakin meningkat menyebabkan tiada rumah kos rendah yang dibina di Pulau Pinang,” kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dalam kenyataan media itu juga Zairil menjelaskan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk dana perumahan mampu milik dan berpatutan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Zairil berkata, Guan Eng menjelaskan Kerajaan Pulau Pinang membina sebanyak 3806 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Kerajaan Negeri juga mengumumkan tambahan 18,000 unit akan dibina termasuk 1320 unit akan di bina di bandaraya George Town untuk memenuhi keperluan perumahan di bandar,” katanya lagi.

Kata Zairil, Dr Chua sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada hakikat sebenar bahawa dasar Kerajaan Pulau Pinang di bawah BN dahulu gagal menyediakan perumahan kos rendah kepada rakyat.

“Dr Chua pasti mengetahui hakikat ini bahawa permasalahan ini berlaku adalah kesan daripada 50 tahun dasar yang gagal dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu,” katanya lagi.

Pada 8 Julai lalu, berlangsung Debat 2.0 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bertajuk ‘DAP dan MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat’.

Debat yang kali kedua dianjurkan ini meliputi dasar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kemakmuran ekonomi, khidmat komuniti, perpaduan negara, kebajikan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.