Categories
NASIONAL

Noh Sepatutnya Desak Muhyiddin Letak Jawatan

SHAH ALAM, 15 OGOS : Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sewajarnya mendesak Timbalan Perdana Menteri meletak jawatan dan bukannya Menteri Besar Selangor sekirannya rundingan penstrukturan air gagal diselesaikan September ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata ini kerana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air di Selangor.

“Proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh mereka yang pakar sahaja.

?Noh tiada pengalaman dalam sektor korporat jadi sudah tentu beliau tidak tahu proses ?step-in? atau pengambilalihan konsesi.

“Mungkin Noh ingat proses ini dilakukan sama seperti ambil alih kolam ternak udang?” soal Faekah.

Minggu lepas, Adun Sekinchan Ng Suee Lim mendakwa Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, terlibat di dalam satu usahasama kolam udang di Tanjong Karang.

Semalam, Noh mendesak agar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan jika gagal melakukan penstrukturan semula industri air Selangor pada September ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air yang diketuai Muhyiddin membenarkan penstrukturan air diteruskan oleh Kerajaan Selangor dengan syarat ia mematuhi peraturan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi untuk menyelesaikan pengambilalihan ini selewat-lewatnya September ini.

Proses penstrukturan semula industri air Selangor akan menyaksikan Kerajaan Negeri mengambil alih industri itu dari aspek pembekalan air mentah ke rawatan hingga ke agihan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ini kerana Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mengurus industri air itu dengan baik.

Mengulas lanjut, Faekah menambah kerajaan Selangor telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan Syabas dan terakhir menawarkan RM 9.3 bilion kepada Syabas. Ini akan memberi untung 25 peratus kepada syarikat konsesi.

Namun, Puncak Niaga dan Syabas menolak tawaran ini dan menuntut pampasan yang memberi keuntungan sehingga 75 peratus.

?Rundingan ini tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat kerana mereka lebih berminat menyelamatkan syarikat konsesi yakni kroni UMNO berbanding kepentingan rakyat.

“Sekiranya penstrukturan ini diselesaikan September ini, bermakna Muhyiddin telah gagal menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi jawatankuasa itu.

“Maka Noh yang tiada mengena dan tiada pengetahuan mendalam dalam isu air perlu mendesak Muhyiddin meletak jawatan bukan Menteri Besar,” kata Faekah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.