Categories
SELANGOR

Isu Langat 2 : Pusat Gagal Hormati Undang-Undang, Takutkan Pelabur Asing

SHAH ALAM, 16 OKT : Langkah Kerajaan Pusat untuk meneruskan Projek Langat 2 tanpa kebenaran Kerajaan Negeri Selangor bakal menjadikannya sebagai isu antarabangsa dan mendapat perhatian pihak luar.

Exco Kerajaan Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kegagalan Kerajaan Pusat menghormati undang-undang akan memberi gambaran negatif terhadap negara di kalangan masyarakat dan negara luar.

“Kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) di Johor Baharu bahawa Kerajaan Pusat akan meneruskan Projek Langat 2 walaupun tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri akan memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Pusat berkeras untuk meneruskan projek tersebut walaupun ia tidak mendapat kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan atau bertentangan dengan Rancangan Tempatan yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dengan keputusan itu, Iskandar berkata, para pelabur juga tidak akan berani lagi melabur di Malaysia kerana tidak ada kepastian bahawa sebarang kontrak yang ditandatangani akan dihormati.

Beliau menambah, pihak tersebut pastinya akan merasakan pelaburan mereka tidak akan terjamin kerana undang-undang negara tidak akan dapat melindungi kepentingan mereka.

“Pelaburan di negara kita akan menurun sama ada dari dalam atau luar negara kerana pelabur tidak akan lagi merasakan pelaburan mereka selamat selain peluang pekerjaan baru akan berkurangan.

“Undang-undang negara tidak lagi akan dihormati kerana rakyat akan beranggapan jika kerajaan boleh membelakangkan undang-undang maka rakyat juga tidak perlu patuh kepada undang-undang maka dengan ini kadar jenayah akan meningkat.

“Kerajaan Pusat janganlah tergesa-gesa membuat keputusan hingga melanggar undang-undang negara. Buatlah keputusan dengan penuh kewarasan dan tidak dipacu oleh sentimen politik semata-mata. Kesannya adalah kepada seluruh negara bukan hanya kepada Selangor,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.