Categories
SELANGOR

Rukun Tetangga Tak Dapat Bendung Samun dan Rompak di Seksyen 7,8,10, Sunway Mentari

PETALING JAYA, 10 DIS: Penduduk Seksyen 7, 8, 10 dan Sunway Mentari di sini terpaksa hidup dalam ketakutan apabila rompakan dan pecah rumah semakin meningkat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Peningkatan kes jenayah berlaku walaupun penduduk di kawasan itu memulakan rondaan rukun tetangga.

Menurut MP Kelana Jaya, Loh Gwo Burne, dalam jangkamasa sebulan sahaja, pejabatnya menerima sekurang-kurangnya 10 aduan berkaitan rompakan dan pecah rumah.

Pejabat beliau sendiri yang terletak di Seksyen 8 turut menjadi sasaran penjenayah.

“Pejabat saya sendiri lebih kurang 10 kali jadi sasaran termasuk pecah masuk, kecurian fius dan kabel.

?Mujur tiada barangan berharga disimpan di sini,” ujar Gwo Burne dalam satu sidang media yang diadakan di pejabatnya hari ini.

Menurut Gwo Burne, pihak polis harus mengambil langkah drastik dengan mendirikan pondok atau balai polis bagi memantau kawasan-kawasan itu.

“Balai terdekat cuma di Sungai Way, kira-kira 15 minit dari sini atau mungkin ambil masa lebih lama bergantung kepada trafik dan lain-lain.

“Operasi (Ops) Payung tak begitu memberikan kesan, kerana pihak polis menempatkan anggota mereka di sesuatu lokasi hanya dua, tiga hari sebelum berpindah ke tempat lain,” kata beliau.

Ops Payung merupakan satu kaedah operasi dengan meletakkan tiga hingga empat anggota polis bagi tugas pencegahan jenayah di bawah sekaki payung yang dilengkapkan dengan meja dan kerusi.

Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Sri Subang, Mansor Ibrahim, rondaan mereka tidak efektif dalam menbendung jenayah di kawasan itu.

“Rondaan yang kami buat cuma dapat beri penduduk sedikit rasa selamat sahaja, tetapi jenayah masih berlaku.

“Lagipun jika penjenayah gunakan senjata seperti parang, tentu merbahaya bagi petugas sukarela yang tidak dibenarkan membawa senjata seperti itu,” ujar Mansor yang juga merupakan Naib Presiden, Persatuan Penduduk Taman Sri Subang PJS 10.

Mansor juga menambah tindakan mengekang kejadian jenayah dari terus berlaku di kawasan itu lebih banyak dijalankan oleh penduduk setempat berbanding polis sendiri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.