Categories
SELANGOR

Selangor Tubuh Badan Kebebasan Maklumat

Grafik Selangor-Pakatan

SHAH ALAM 25 MAC : Bekas Ketua Polis negeri Terengganu, Datuk Kamaruddin Mat Desa dilantik sebagai Pengerusi Badan Maklumat Negeri bagi melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011.

Turut dilantik lima anggota lain dalam badan terbabit yang terdiri daripada Bekas Pesuruhjaya Hisbah Terengganu, Nordin Saidin ; Profesor Undang-undang Universiti Malaya, Prof Abu Bakar Munir dan Majlis Peguam Negara, Sonya Liew Yee Aun.

Dua anggota lain ialah Peguam, R.Kupusamy dan Timbalan Presiden Unit Keselamatan Astro, Thomas Navamoney D.E Solomon.

Enakmen Kebebasan Maklumat akan membolehkan orang awam memohon maklumat tentang pentadbiran kerajaan seperti kontrak dan tender yang dikeluarkan, butiran perbelanjaan dan pengunaan dana awam.

Dasar tersebut merupakan penterjemahan prinsip ketelusan Pakatan Rakyat di mana pebelanjaan dana awam oleh kerajaan dapat dipantau masyarakat awam.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata sebuah Lembaga Rayuan juga akan ditubuh untuk pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pegawai Maklumat.

“Rayuan juga boleh dibuat jika pemohon tidak mendapat maklumat dalam tempoh ditetapkan atau telah disalahgunakan dengan cara lain berkaitan dengan permohonan atau akses kepada maklumat,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di bangunan SUK, di sini.

Seramai 35 orang daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Pegawai Daerah dilantik sebagai pegawai maklumat.

Antara tugas pegawai tersebut adalah merekodkan semua maklumat di dalam kawalan jabatan secara teratur.

Selain itu, mereka juga akan melatih jabatan berkenaan dengan penjagaan, penyimpanan, pengurusan dan memenuhi permohonan maklumat serta berkhidmat sebagai pengantara bagi jabatan dalam menerima permohonan.

Mereka juga perlu mengadakan sistem pengesanan bagi mengawal selia pemprosesan setiap permohonan untuk maklumat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.