Categories
SELANGOR

Nik Nazmi : Padang PKNS, Penduduk Kelana Jaya Tahu Saya Bersama Mereka

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

SHAH ALAM, 26 APRIL: Isu padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya yang mahu dibangunkan sebagai projek komersial tahun lalu tidak memberi kesan besar kepada calon PKR DUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ini kerana Nik Nazmi merupakan antara individu yang memainkan peranan penting menentang projek itu sehingga membawa pembatalan projek tersebut.

“Isu ini amat dekat di hati penduduk Kelana Jaya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

“Saya yakin penduduk Kelana Jaya tahu saya bersama mereka, bersama Jawatankuasa Selamatkan Padang Rakyat daripada peringkat awal bawa ke Dewan (Negeri Selangor), ke Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Saya juga bersama jawatankuasa itu membawa ke Lembaga Rayuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan akhirnya yang terbaru PKNS menarik balik rayuan mereka,” kata Nik Nazmi ketika ditemui selepas beliau bertemu pengundi di Taman Ladang Glenmarie di sini.

Nik Nazmi juga berharap agar PKNS tidak membuat permohonan baru sekaligus menamatkan kontroversi yang menghantui penduduk Kelana Jaya.

Nik Nazmi dalam misi mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi 2008 lalu berharap pengundi Seri Setia dapat menilai prestasi kerjanya sebagai wakil rakyat dalam penggal lepas.

“Dahulu orang tak kenal saya, mungkin mereka undi PKR kerana marah kepada BN, tetapi sekarang lebih mudah memandangkan kini mereka sudah kenal saya dan saya yakin mereka nampak kerja yang saya buat di sini,” kata Nik Nazmi.

Dalam program bertemu pengundi di Taman Ladang Glenmarie semalam rata-rata pengundi yang ditemui mengaku mereka mengenali Nik Nazmi dan bersedia membantu PR mempertahankan Selangor sekaligus menang di peringkat persekutuan.

“YB jangan risau, di rumah saya sahaja sudah ‘guarantee’ ada empat undi untuk YB,” kata Velu Subramaniam, 59, salah seorang penduduk taman yang lebih 90 peratus dihuni oleh pengundi India itu.

Selain itu, seorang guru yang tidak mahu namanya disiarkan, tanpa ragu-ragu menyatakan kesediaannya bersama PR dalam melakukan perubahan kepada kerajaan yang lebih berintegriti.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Untuk rekod, Nik Nazmi merupakan salah seorang calon muda yang ditampilkan PKR dalam PRU-12 pada 2008 lalu.

Beliau yang ketika itu berusia 26 tahun mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menewaskan penyandang daripada BN, Seripah Noli Syed Hussin dengan majoriti 2,863 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.