Categories
SELANGOR

Hata Wahari Protes Utusan Malaysia

hata wahari protes utusan 01

KUALA LUMPUR 20 MEI : Bekas wartawan Utusan Malaysia Hata Wahari mendesak pengurusan akhbar Bahasa Malaysia tersebut supaya kembali ke etika kewartawanan yang luhur dan menolak sikap perkauman di dalam liputan mereka.

Hata, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia yang dipecat tiga tahun lalu hadir sendirian dengan kain rentang yang bertajuk “Pesanan Kepada Ketua Pengarang Utusan? di hadapan pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin di sini.

Hata berkata beliau hadir pada ulangtahun pemecatannya di depan akhbar tersebut untuk mengadakan protes terhadap dasar liputan dan pengarangan Utusan Malaysia yang didakwa semakin rasis dan menyimpang dari perjuangan asal akhbar tersebut.

Bunting tersebut mengandungi mesej :

?Hentikan Kewartawanan Tidak Bertanggungjawab. Jadilah Wartawan Yang Menjunjung Etika Kewartawanan. Jangan Gadaikan Masa Depan Utusan Untuk Kepentingan Sendiri. Jangan Jadi Wartawan Rasis.

“Tahun ini adalah tahun ketiga selepas saya dipecat daripada Utusan Malaysia. Saya hadir dengan memegang banner bagi menyatakan ketidakpuasan hati saya terhadap akhbar ini.

“Selagi mereka tidak berubah, setiap tahun saya akan datang. Setiap 20 Mei saya akan datang sebagai tanda protes,” katanya yang juga bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Protes tersebut mengundang ejekan kakitangan Utusan Malaysia yang keluar beramai-ramai di hadapan ibu pejabat akhbar tersebut.

Tambahnya, apa yang berlaku terhadap Utusan Malaysia ketika ini sungguh mengecewakan dan tahap kewartawanannya semakin rendah.

Beliau yang bertugas lebih 15 tahun dengan Utusan Malaysia berkata, akhbar tersebut lari daripada perjuangan asal sebagai suara majoriti rakyat Malaysia.

Sebaliknya ia kini hanya menjadi alat pihak berkepentingan.

“Utusan ini sebenarnya milik rakyat Malaysia. Pada 1939 sebanyak RM 12,500 dikumpul rakyat terdiri dari pelbagai bangsa untuk Utusan Melayu lalu wujud Utusan Melayu Berhad.

“Dana yang datang bukan dari orang Umno. Umno ambilalih Utusan lebih kurang pada 1963, sebab itu berlaku mogok besar di Utusan pada tahun itu yang menyebabkan Utusan lumpuh 93 hari kerana gagal menerbitkan suratkabar,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.