PANDAN INDAH, 1 MEI : Calon PKR Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menasihatkan orang ramai yang akan keluar mengundi nanti untuk mendapatkan sarung tangan getah di pondok-pondok Pakatan Rakyat(PR) sebelum masuk ke bilik pengundian.
Katanya, ia bertujuan mengelakkan kertas undi daripada rosak ekoran terkena palitan dakwat kekal.
Dakwanya, penggunaan dakwat kekal semasa hari pengundian pada 5 Mei ini tidak menjamin ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ini kerana menurutnya, dakwat kekal yang akan dicalitkan pada jari pengundi hanya bertahan dalam tempoh tiga jam, bukan sehingga tujuh hari seperti yang didakwa SPR.
“Bila kita tanya pegawai SPR mengapa dakwat ini tidak kekal lama, SPR hanya jawab ini semua salah kakitangan mereka yang tidak menggoncang botol dakwat sebelum digunakan. Adakah relevan jawapan yang diberikan ini?
“Rakyat perlu berhati-hati dengan penipuan SPR kerana mereka ini akan terus memperdayakan kita dengan pelbagai cara,” katanya dalam Majlis Ceramah Perdana Pakatan Rakyat (PR) di Padang Perbadanan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Sementara itu,Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, kebolehan pimpinan PR dalam urusan pentadbiran tidak boleh disangkal malah keberkesanannya terbukti di kesemua buah negeri yang diperintah terutamanya Selangor.
“Kalau Kerajaan Selangor berjaya menyimpan rizab tunai sejumlah RM2.6 bilion, ia adalah satu petunjuk jelas bahawa kita mesti kekalkan PR di sini. “5 Mei ini adalah medan untuk rakyat membuat perubahan, saya merayu supaya anda memilih pemimpin yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat,” katanya semasa menyampaikan ceramah di hadapan 2,000 orang di Pandan Indah, di sini malam tadi.