Categories
SELANGOR

GMI Desak Semua Tahanan ISA Dibebaskan

anti-isa

SHAH ALAM 11 JUN : Kerajaan digesa membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mewujudkan Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua salah laku di bawah ISA dengan mengheret individu terlibat ke muka pengadilan.

Penyelaras Suaram, Sekretariat Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Shukri Razab berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tidak wajar meneruskan kegagalan yang lama kerana tidak wujud istilah terlambat untuk membetulkan segala kesalahan yang berlaku.

Katanya pada 22 Jun ini, genap setahun ISA dimansuhkan secara rasminya dan serentak dengan itu pewartaan Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah-langkah Khas 2012) atau dikenali SOSMA.

“SOSMA dikuatkuasakan dalam keadaan Kerajaan masih belum memperbetulkan segala kesilapan sepanjang ISA digunakan,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, seramai 15 orang tahanan ISA masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting, daripada jumlah itu, lapan orang merupakan warga tempatan, tiga – Sri Lanka, tiga – Filipina dan seorang Indonesia.

Di Tawau Sabah, ada seramai 6 orang isteri masih terpisah daripada suami dan 20 orang anak kecil masih terpisah daripada ayah mereka.

“Lebih perit, sehingga ke hari ini masih tidak ada alasan jelas mengapa tahanan ISA terus dikurung sedangkan akta yang digunakan untuk menahan mereka telahpun dimansuhkan.

“Tahanan ISA yang paling akhir akan dibebaskan ialah tahanan dari Tawau Sabah. Mengikut perintah tahanan, mereka hanya akan dibebaskan pada Januari tahun depan setelah genap dua tahun tempoh tahanan,” ujar beliau.

Katanya, bekas Menteri KDN, Datuk Seri Seri Hishammuddin Hussein semasa mengetuai KDN tidak langsung menunjukkan kesungguhan untuk memperbetulkan kezaliman ISA walaupun banyak kali menerima tuntutan dan protes dari rakyat.

“Oleh itu, sebagai usaha untuk membela keluarga mangsa ISA, GMI akan mengadakan lawatan ke Kem Tahanan Kamunting bersama 5 orang isteri tahanan ISA dari Tawau Sabah pada 15 dan 16 Jun ini.

“Turut hadir dalam rombongan lawatan tersebut ialah dua orang anak kecil yang belum pernah bertemu dengan ayah mereka kerana semasa ayah mereka ditahan, mereka masih di dalam kandungan.

“Lawatan ini juga bertujuan ingin mendedahkan kepada masyarakat umum mengenai sandiwara pemansuhan ISA yang masih menzalimi rakyat walaupun setelah setahun dimansuhkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.