Categories
NASIONAL SELANGOR

Ops cantas: 211 penjenayah diberkas dalam operasi 4 hari

jenayah tembak

SHAH ALAM, 20 OGOS : Polis Kontinjen Selangor telah memberkas seramai 683 orang yang disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, DCP Datuk A. Thaiveegan berkata daripada jumlah itu 211 daripadanya didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

“Menerusi operasi yang dilancarkan sepanjang empat hari yang berakhir awal pagi tadi pihak kami mendapati 211 orang ini terlibat dalam beberapa kesalahan jenayah dan ada dari kalangan mereka memang dikehendaki polis selain ada dari kalangan mereka memiliki senjata berbahaya dan dadah.

“Kesemua mereka ini telah direman untuk penyiasatan seterusnya sementara yang lain telah dibebaskan dalam siasatan tersebut,” katanya dalam satu sidang media di ibu Pejabat Kontijen Negeri di Shah Alam hari ini.

Kesemua mereka ditahan selepas polis melakukan pemeriksaan mengejut di premis hiburan, restoran 24 jam, sekatan jalan raya serta lokasi-lokasi yang disyaki menjadi tempat penjenayah berkumpul.

Menerusi operasi tersebut, Polis Kontinjen Selangor turut merampas 11 bilah parang, 5 pisau, 1 pistol mainan, barangan pecah rumah, 92 batang cota, 7 buah kereta, 5 buah motosikal, 10 telefon bimbit dan dadah pelbagai jenis.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah dan siasatan lengkap akan dilakukan sebelum mengemukakan pendakwaan.

Thaiveegan menambah, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan dijalankan sebelum mengemukakan pendakwaan keatas mereka.

“Setiap hari kita akan memohon daripada mahkamah untuk mengeluarkan perintah reman bagi membolehkan pihak kami menahan dan lakukan siasatan.

“Keputusan berapa ramai yang akan dituduh melakukan kesalahan ini, pihak kami akan maklumkan dalam masa terdekat,” jelas Thaiveegan

Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata PDRM akan memperhebatkan lagi operasi ini ke seluruh Selangor.

Hasil siasatan, PDRM mendapati kebanyakan kes tembakan yang berlaku mutakhir ini berpunca daripada faktor balas dendam selain faktor menerima upah untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Kami berharap orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekirannya mengetahui atau mengesyaki sebarang kegiatan jenayah dalam membantu pihak kami membanteras kegiatan ini,”

Melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi PDRM semalam, operasi itu bakal diadakan di seluruh negara dan pada peringkat awal pelaksanaannya, Polis Kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan merupakan perintis kepada operasi tersebut.

– HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.