Categories
SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Tubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Parlimen semak belanja pertahanan

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Kira-kira Pertahanan atau Jawatankuasa Pengawasan Parlimen yang bersifat dua pihak bagi menyemak perbelanjaan pertahanan.

Belanjawan Alternatif PR 2014 menyifatkan kerajaan memperuntukkan RM23 billion untuk pertahanan dan keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, dalam Bajet 2013.

Dengan penubuhan jawatan kuasa itu, PR menganggarkan penjimatan hampir RM3.5 bilion untuk sektor pertahanan dan keselamatan.

Pembentangan belanjawan berkenaan juga memperlihatkan tidak ada pengawasan khas ke atas pembelian dan perolehan pertahanan. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara juga hanya menyelia semua jenis perbelanjaan lain kerajaan yang tidak diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

Pakatan Rakyat menegaskan bahawa proses perolehan termasuk jawatankuasa pembuat keputusan perlu terdiri daripada ahli parti pemerintah dan pembangkang melalui perundingan dengan kumpulan pakar awam.

Rundingan itu perlu untuk mengelak potensi amalan rasuah dan pembelian peralatan ‘tidak perlu’ yang tidak strategik terutama jika mengambil kira Persefahaman Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Belanjawan berkenaan turut memberi contoh berkenaan prospek serangan tentera konvensional di Malaysia sudah berkurangan di bawah FPDA yang tidak menjadi jaminan bagi pembelian peralatan baru tertentu untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang yang boleh menjimatkan ringgit wang rakyat.

Penjimatan itu dilihat boleh digunakan untuk pembangunan dalaman dan penyelidikan pertahanan supaya tidak bergantung kepada peralatan tentera asing.

Satu lagi potensi penjimatan adalah dengan menggunakan pakar pertahanan awam yang boleh memberi pandangan berguna dalam teknologi pertahanan dan peralatan terkini, memaksimumkan strategi taktikal dan penggunaan sumber modal.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.