Categories
NASIONAL

Kemenangan Pro-M UKM, isyarat mahasiswa mahu perubahan

grafik-gmukm-1

SHAH ALAM 30 OKT – Kemenangan Pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro-M UKM) mengekalkan tampuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dalam Pilihan Raya Kampus 2013-2014 tiga kali berturut-turut adalah isyarat mahasiswa mahu kepada penerusan agenda perubahan.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Muhamad Azan Safar berkata, kemenangan ini memberikan petanda jelas bahawa mahasiswa dapat menilai prestasi pentadbiran sebelum ini selain keadaan isu semasa yang mendorong mereka mengekalkan pimpinan Pro-M sekali lagi.

Kemenangan besar dengan majoriti 22 kerusi mengukuhkan cengkaman Pro-M sejak sesi 2010-1011 menewaskan Aspirasi Mahasiswa (Pro-Aspirasi) yang memenangi hanya empat kerusi sementara satu lagi kerusi disandang calon bebas.

“Apa yang menarik PRK dikala Pro-Aspirasi membawa idea transformasi dan juga penjenamaan semula nama serta pembawakan mereka tetapi mahasiswa kenal siapa yang sebelum ini membantu mahasiswa dalam kepimpinan UKM. Yang lebih penting bagaimana mahasiswa menolak Pro-Aspirasi yang disebut sebagai Pro-Kerajaan.

“Sebenarnya mungkin kemarahan mahasiswa di luar sana dengan kenaikan harga minyak dan sebagainya, mereka lepaskan perkara itu di dalam kampus. Nak tunggu pilihan raya lambat lagi,” katanya kepada TV Selangor.

Pada sesi PRK 2012-2013, Pro-M berjaya mengatasi Pro-Aspirasi dengan kemenangan 19 kerusi berbalas 9.

Jelas Muhamad Azan, pembuangan undi yang berlangsung pada 23 Oktober lalu berjalan lancar dan proses penamaan calon dibuat pada 18 Oktober..

Ujarnya lagi, proses berkempen kali ini menunjukkan kematangan apabila kedua-dua kumpulan mahasiswa bertanding bersetuju untuk mengadakan debat terbuka di antara calon bagi menjelaskan matlamat dan pembawakan kepimpinan selepas mendapat mandat mentadbir.

“Antara yang baik di UKM pendidikan politik dalam kalangan organisasi mahasiswa sebab sejak PRK berlangsung, hampir semua fakulti UKM mengadakan debat bagi calon dan fakulti masing-masing.

“Dan ia disambut oleh kedua-dua pihak melainkan debat Presiden yang tidak dihadiri oleh calon Presiden mereka (Pro-Aspirasi) sebaliknya dihadiri bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mereka.

“Itu memberikan tamparan hebat dan membuka mata mahasiswa seolah-olah mereka tidak mempunyai calon yang berkreadibiliti untuk diangkat sebagai calon presiden,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.