Categories
NASIONAL

Kilang didenda RM36,000 atas kesalahan lepas sisa perindustrian lebih had

pencemaran

SHAH ALAM 21 OKT : Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhi hukuman denda RM36,000 terhadap Teknicast Sdn Bhd atas kesalahan melepaskan sisa perindustrian ke dalam perairan pedalaman melebihi kepekatan yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Mengikut pertuduhan pertama, premis berkenaan didapati melepaskan sisa perindustrian melebihi had piawaiaan yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 membabitkan kandungan keperluan oksigen biokimia yang mempunyai kepekatan 300 miligram seliter (mg/l) daripada had sebenar iaitu 100 mg/l.

Bagi pertuduhan kedua, premis itu didapati melepaskan sisa perindustrian melebihi had piawaian yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 (b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 membabitkan keperluan oksigen kimia yang mempunyai kepekatan sebanyak 940 mg/l melebihi had ditetapkan 200 mg/l.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis berkenaan yang terletak di Lot 2139, Jalan Enggang, Batu 9, Kebun Baru, kira-kira jam 2 petang, 6 Mac 2013 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus kemudian menjatuhkan hukuman itu selepas Pengurus Sumber Manusia syarikat berkenaan, Zolida Mohd Yunus, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JAS Negeri Selangor, Zulaikha Mokhtar. -NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.