Categories
NASIONAL

Kitaran laporan audit yang tak kunjung selesai

audit 2012(ANALISIS BERITA) Sebagai pemerintah sejak lebih 50 tahun, Laporan Ketua Audit Negara 2012 hanya menyerlahkan kegagalan dan sikap sebenar kerajaan Umno BN dalam menguruskan wang rakyat.

Selepas menaikkan harga minyak atas alasan menyelamatkan wang negara, laporan itu juga menzahirkan ‘tembelang’ sebenar Umno BN yang memboroskan berbilion-bilion wang rakyat, dibazir.

Selain mengundang kegusaran terhadap sikap ahli politik kerajaan yang boros, selain sikap pentadbir kerajaan berbelanja tidak berdasarkan ‘value for money’ juga membimbangkan.

Apakah alasan berbelanja RM300,000 untuk lawatan ke luar negara sedangkan kosnya cuma RM50,000?

Masalah pemborosan itu terus berlaku sekalipun pemimpin pembangkang sebelum ini pernah menyatakan kerajaan berpotensi menjimatkan RM28 bilion jika berupaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah.

Pemborosan itu hanya sejumlah kecil yang dikesan lantaran adanya audit tahunan tetapi bagaimana dengan perbelanjaan perdana menteri, timbalan menteri, menteri kabinet dan isteri mereka?

Mungkin jika semuanya diaudit, pasti menghimpunkan lebih banyak pemborosan mahupun penyelewengan yang jauh menggemparkan. Malah tidak mustahil ia berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Jika jumlah itu dapat diselamatkan dalam setahun, mungkin rakyat tidak perlu berdepan kenaikan harga petrol manakala kerajaan pula tidak keras kepala mahu melaksanakan cukai GST.

Apapun, paling penting ialah tindakan pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa individu yang mengakibatkan pembaziran dan wujud unsur rasuah.

Ini kerana laporan berkenaan hanya ‘panas’ hingga jadi perdebatan sana sini untuk seminggu dua tetapi bertukar menjadi ‘sesejuk ais’ tanpa sebarang tindakan konkrit.

Jika amalan ini berterusan, kita nampaknya terpaksa menunggu tahun depan untuk sesi pembentangan laporan terbaru dan mendengar alasan lapuk pihak kerajaan sambil melupakan laporan depan mata.

Dan ia berputar dalam kitaran begitu, entahlah sampai bila?

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.