Categories
NASIONAL

PRK Dun Sungai Limau saksi pertembungan dua penjuru

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 23 OKT : Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abd Samat dan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Pengumuman itu dilakukan Pegawai Pengurus PRK, Abdul Rashid Othman di pusat penamaan calon, di Dewan Dato’ Madi di Yan, Kedah, pagi ini.

DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai mempunyai 27,287 pemilih berdaftar dengan 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian, pada 4 November ini.

Mohd Azam dalam laporan HarakahDaily berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab diamanahkan parti dan akan meneruskan legasi yang ditinggalkan bekas ADUN kawasan berkenaan, Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak.

Beliau berkata, tanggungjawab terbabit cukup berat dan besar bagi meneruskan kemenangan PAS selama lima penggal di DUN berkenaan.

“Saya cukup terharu apabila diberikan amanah oleh kepimpinan parti bagi mewakili PAS pada PRK kali ini.

“Ini adalah tanggungjawab yang cukup berat untuk saya laksanakan terutama bagi mengekalkan kemenangan yang diperoleh PAS selama lima penggal,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan bersama pimpinan utama Pakatan Rakyat yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan akibat komplikasi jantung dan jangkitan kencing manis, pada 26 September lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.