Categories
NASIONAL

Program Pendemokrasian Rakyat terus diperhebat

amirudin shari

SHAH ALAM 18 OKT : Program Pendemokrasian Rakyat bagi meningkatkan pendaftaran pemilih baru untuk pilihan raya akan terus dipergiatkan di seluruh Selangor walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru berlangsung, pada 5 Mei lalu.

Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari, berkata pimpinan Pakatan Rakyat merancang untuk lebih agresif mendekati pengundi dengan memberikan penerangan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, langkah itu diambil dalam usaha memastikan rakyat memperolehi maklumat yang tepat berkenaan isu semasa politik daripada diselewengkan kumpulan perkauman seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dalam penentuan agenda politik negara.

“Program ini bakal memberikan penjelasan berkenaan usaha Kerajaan Negeri mempertingkatkan tahap kehidupan orang Melayu, khususnya di kawasan utara Selangor yang tidak dimenangi Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves berkata, pimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi merangka formula dan gerak kerja bersama untuk mempertingkatkan kesedaran rakyat supaya mendaftar untuk mengundi, khususnya generasi muda.

“Pakatan Rakyat tidak mensasarkan aktiviti pendaftaran sahaja tetapi program susulan dan pertemuan dengan masyarakat, di samping menjelaskan dasar negeri sedia ada.

“Program pendaftaran pengundi itu penting dan akan dipertingkat, selain diteruskan serta ditambah nilai dengan program mendekati masyarakat pengundi,” katanya.

Amirudin berkata, program sama yang dijalankan sebelum PRU-13 menampakkan hasil positif melalui peningkatan pendaftaran membabitkan kira-kira 300,000 pengundi baru.

Katanya, program kesedaran politik di kalangan generasi muda juga akan diberikan penekanan untuk mendekatkan Pakatan Rakyat dengan golongan berkenaan kerana mereka adalah faktor yang mencorakkan senario politik negara pada masa hadapan. -NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.