Categories
SELANGOR

BN dijangka potong belanja pembangunan sehingga 10 peratus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan pusat dijangka akan memotong peruntukan perbelanjaan pembangunan sehingga mencecah 10 peratus dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Sue Lim (DAP-Sekinchan), berkata hal itu berikutan kerajaan yang diteraju Barisan Nasional (BN) mengurus perbelanjaan mereka dengan amalan boros, ketirisan dan rasuah yang berlaku secara berleluasa dalam pentadbiran.

02Katanya, kerajaan pusat dilihat bertindak mengalihkan bebanan akibat amalan buruk itu kepada rakyat seperti memotong subsidi gula dan petrol serta memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“GST gasak sampai tertonggeng, gasak rakyat sampai tak boleh bernafas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, kerajaan pusat juga gagal menunaikan janji untuk menaikkan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) daripada RM500 hingga RM1,200 seperti janji BN dalam manifesto.

Dakwaan itu disanggah Halimaton Saadiah (BN-Kota Damansara) dengan alasan jumlah itu dinaikkan secara berperingkat selama lima tahun tetapi perkara berkenaan tidak dinyatakan dalam manifesto BN ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Sementara itu, Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berkata, rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi sebelum kerajaan memberi BR1M kepada mereka.

“Rakyat terpaksa bayar harga tinggi untuk dapat BR1M kerana kenaikan harga gula dan petrol, baru-baru ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.