Categories
SELANGOR

EKSKLUSIF SIRI AKHIR – Kes tembakan : Masih amankah Malaysia?

isu tembakSHAH ALAM 7 NOV : Bagaikan situasi di negara asing yang sering ditonton melalui siaran televisyen, masyarakat tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan kejadian demi kejadian tembakan maut, sejak April lalu.

Terbaru, pegawai bank, Norazita Abu Talib ditembak mati seorang pengawal keselamatan warga Indonesia ketika sedang membuka bilik kebal di dalam bank Ambank USJ2, pada 23 Oktober lalu.

Insiden berkenaan termasuk antara beberapa kes lain yang dilaporkan media massa membuatkan orang ramai mula resah dan tidak senang duduk dengan tahap keselamatan di Malaysia.

Lebih membimbangkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Selangor mencatat indeks jenayah tembakan tertinggi berbanding negeri lain dengan jumlah 15 kes, sepanjang Januari hingga Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengakui faktor geografi di sempadan seperti Malaysia dan Thailand adalah punca yang menggalakkan aktiviti penyeludupan senjata api seterusnya menyumbang kepada peningkatan kes jenayah.

Pensyarah, Ahmad Isa, 55, berkata kes tembakan yang berlaku adalah sesuatu yang menyedihkan, apatah lagi apabila Malaysia bakal melangkah ke tahap negara maju.

Katanya, masyarakat terpaksa hidup dalam ketakutan dan berwaspada kerana khuatir mereka bakal menjadi sasaran seterusnya oleh penjenayah.

Beliau berkata, fenomena yang berlaku juga jelas membuktikan sesiapa sahaja boleh memiliki senjata api (free for everyone) tanpa ada sekatan daripada pihak berkuasa.

“Saya kira semua orang akan hidup dalam ketakutan bila lihat jenayah itu berlaku dengan begitu rancak sekali, terutama di Selangor. Tindakan drastik mesti diambil kerajaan dan pihak berwajib supaya dapat diatasi dari awal kerana kes jenayah membabitkan senjata api semakin serius.

“Saya tidak mahu generasi akan datang hidup dalam keadaan begini. Kini sudah tiba masa untuk KDN mengambil tindakan serius supaya Malaysia kembali aman,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Pembantu Pemasaran, Mohd Alitaha Jamal, 31, mendakwa tindakan penguatkuasaan yang lemah oleh Kerajaan Malaysia mendorong penjenayah melakukan tindakan luar batas sehingga mengancam nyawa insan tidak berdosa.

Katanya, polis dan KDN tidak boleh leka terhadap perkara itu dan digesa supaya memperketatkan undang-undang sedia ada, selain perlu tahu punca sebenar supaya kes jenayah membabitkan senajata api dapat diatasi.

“Saya ibaratkan nyawa manusia macam nyamuk, bila tepuk terus mati. Senjata api terlalu mudah didapati hingga membuatkan rakyat terfikir apa penguatkuasa Malaysia buat di Thailand? Kalau tidak ada penyeludupan senjata, insiden begini tidak akan berlaku.

Peniaga, Zamri Kassim, 50, berpendapat keselamatan rakyat bagaikan di hujung tanduk kerana berisiko untuk ditembak secara rambang ekoran senjata api mudah dimiliki.

Zamri berkata, dia turut tidak menolak kemungkinan jenayah berkenaan adalah jalan pintas yang digunakan penjenayah untuk mendapat kesenangan dengan mudah.

“Keselamatan negara semakin teruk dan berpunca daripada tindakan Kerajaan sebelum ini seperti pemberian kad pengenalan secara rambang terutama kepada warga asing. Saya juga tidak menolak kemungkinan faktor ini disebabkan bebanan sara hidup dan kegiatan jenayah adalah jalan pintas untuk mendapatkan kesenangan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.