Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat digesa hapus cukai eksais melampau

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 NOV : Langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlu bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata cukai eksais yang terlalu tinggi memberi ruang kepada syarikat pengeluar dan pengedar kereta bersembunyi di sebalik struktur cukai berkenaan untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding negara lain.

Rafizi-Cukai-KeretaKatanya, pelaksanaan dan pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus menyebabkan struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga mempunyai nasib sama.

“Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini, hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, rakyat akan sedar jika harga tetap kekal tinggi jika dibandingkan dengan model yang sama di negara lain apabila cukai eksais sudah tidak ada.

Perbezaan harga itu berpunca daripada tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.

“Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100 peratus ke atas kereta digunakan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harganya terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga terbabit dengan hutang yang tinggi.

“Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini baru wujud persaingan sihat antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga supaya setanding dengan negara lain bagi model sama,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.