Categories
SELANGOR

Petaling Perdana juara Piala MB 2013

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 25 NOV: Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Selangor 2013 bawah 16 tahun melabuhkan tirainya dengan kejayaan Petaling Perdana.

Pasukan itu dinobatkan sebagai juara dan kejayaan manis itu diperoleh selepas berjaya menewaskan pasukan Klang 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

kejohanan bola sepak 04Juara bagi kejohanan yang julung kali diadakan itu membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan dan pingat dan hadiah disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kejayaan pasukan Petaling Perdana itu bertambah manis apabila pemain jersi nombor enamnya, Ainol Iskandar Masum dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan piala.

Sementara itu, pasukan Klang yang bergelar naib juara, meraih hadiah wang tunai RM4,000 dan pingat, manakala Hulu Langat dan Gombak diumum sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat yang berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM2,000.

kejohanan bola sepak 02Edisi pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar bawah 16 tahun adalah salah satu landasan bagi mencungkil bakat muda sukan bola sepak Selangor.

Kejohanan yang menggunakan format liga itu membabitkan 10 pasukan dari lapan daerah seluruh Selangor, bermula 20 November lalu.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar bawah 16 tahun yang julung kali diadakan itu adalah salah satu landasan bagi mencungkil bakat muda sukan bola sepak negeri itu.

yb yunus hairi“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) sebagai langkah mencungkil bakat bawah 16 tahun, sekali gus persediaan kepada skuad bawah 18 tahun, selepas itu pasukan belia dan akhirnya senior Selangor.

“Tidak dinafikan, Selangor tidak putus melahirkan bintang bola sepak yang bukan sahaja bermain di Selangor tetapi untuk pasukan negeri lain. Sebab itu di peringkat belia, kita masih juara dan hanya selepas bermain untuk Selangor baru mereka dibeli persatuan bola sepak negeri lain,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

“Peruntukan bagi kejohanan ini menelan kos kurang RM200,000 dan sebahagiannya disalurkan kepada pasukan di daerah bagi membuat persediaan menghadapi kejohanan ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.