Categories
SELANGOR

PSRA: Restu ibu bapa pemangkin kejayaan Nur Nabiha, Aidil Ikram

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 14 NOV: Pelajar cemerlang Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat Selangor, Nur Nabiha Nasuha Muhammad Zamri menyifatkan restu ibu bapa sebelum ke sekolah adalah kunci kejayaannya.

Nur Nabiha, 12, yang memperoleh markah 99.2 peratus berkata, amalan itu dilakukan selain disebabkan perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap kedua ibu bapanya, selain bertujuan mendapatkan keberkatan ketika menimba ilmu di sekolah.

“Setiap kali sebelum ke sekolah saya akan memohon restu ibu bapa, minta mereka doakan kejayaan saya, selain berdoa sendiri selepas solat,” katanya selepas diumumkan sebagai pelajar perempuan cemerlang PSRA 2013 Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, semalam.

Nur Nabiha yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah, Batu Belah, Klang juga yakin restu yang diberikan ibu bapanya antara faktor kejayaan dalam peperiksaan itu.

Sementara itu bapa Nabiha, Muhammad Zamri Che Ros, 41 tahun yang bertugas sebagai agen penghantaran memberitahu dia tidak pernah menghantar anaknya menyertai kelas tuisyen, sebaliknya lebih menumpukan kepada pendidikan di rumah dan menyediakan buku rujukan pelajaran yang diminta.

“Dia memang rajin buat ulangkaji pelajaran, sembahyang juga tak tinggal dan selalu baca Al-Quran,” katanya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERASementara itu, bagi kategori lelaki, Muhammad Aidil Ikram Amran yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong, berkata dia sentiasa memberikan fokus 100 peratus ketika sesi pembelajaran di sekolah dan itulah kunci kejayaannya memperoleh markah 98.8 peratus.

“Ada masa bermain dan berehat, tetapi saya akan beri sepenuh perhatian ketika sesi pembelajaran dan sangat penting adalah hormati ibu bapa dan guru untuk mendapat keberkatan,” katanya.

Bapanya, Amran Abdullah yang bertugas sebagai juruteknik swasta, berkata dia hanya memasukkan Aidil ke kelas tuisyen yang disediakan sekolah ketika hampir musim peperiksaan.

“Sebelum peperiksaan, sekolah ada buat kelas tuisyen malam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberikan tumpuan kepada pelajar sekolah itu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.