Categories
SELANGOR

Teknologi insinerator masih dalam kajian

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri masih menjalankan kajian terperinci berkenaan kesesuaian teknologi insinerator untuk pelupusan sisa pepejal di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Khim, berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan, antaranya jenis teknologi yang akan diguna pakai, modul kewangan, kesan jangka panjang kepada sistem terbabit, impak sosial dan impak alam sekitar.

sidang dun 21-11-13 - 1“Dalam hal ini, kerajaan negeri sangat menitik beratkan kepentingan orang awam sebelum keputusan muktamad berkenaan penggunaan teknologi yang lebih baik daripada sistem tapak pelupusan sanitari yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) berhubung pendirian kerajaan negeri berkenaan sistem insinerator di Selangor, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Teng berkata, kerajaan negeri turut menjalankan beberapa kajian perbandingan berkenaan tiga sistem pelupusan sisa pepejal seperti kitar semula, pelupusan sanitari dan insinerator.

Katanya, sistem pelupusan sisa pepejal secara sanitari adalah kaedah terendah daripada segi kos pembinaan dan operasi, namun mengundang masalah pencemaran, manakala sistem kitar semula tidak merawat sisa pepejal secara keseluruhan kerana ia hanya sistem sokongan.

“Sistem insinerator pula dapat merawat sisa pepejal sebanyak 90 peratus dan mampu merawat gas beracun hasil daripada pembakaran itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memandang serius bagi memastikan pembuangan sampah berkurangan dan dapat mewujudkan alam sekitar yang bersih dan hijau.

“Pelbagai program sudah dilaksanakan antaranya “Kempen Kitar Semula”, program ‘3R’ (reuse, reduce, recycle) dan “Hari Tanpa Beg Plastik” pada setiap Jumaat bagi bangunan kerajaan serta setiap Sabtu di seluruh pasaraya negeri Selangor,” katanyanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.