Categories
SELANGOR

Pesara dirai dalam Majlis Jamuan Teh Diraja

Oleh : Norhayati Umor

KLANG 8 DIS : Seramai 1,200 pesara kerajaan hadir ke Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-68, di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan untuk tahun ketiga hasil cetusan Sultan Sharafuddin yang dimanfaatkan sepenuhnya pesara bagi beramah mesra lebih dekat bersama baginda.

DSC_0072aPesara kerajaan itu terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan seperti juruteknik, pengkeranian, ketua jabatan dan Ketua Setiausaha Negara membabitkan semua sektor.

Pesara yang dijemput itu membabitkan mereka yang bermastautin di daerah Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut; Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir.

Emran berkata, pesara kerajaan yang tinggal di Selangor perlu berbangga dengan keprihatinan Sultan Sharafuddin yang mencetuskan idea bagi mengadakan majlis ini.

DSC_0086aKatanya, walaupun sudah lama meninggalkan perkhidmatan kerajaan, namun peluang hadir ke majlis itu memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra dengan baginda.

“Ia melambangkan keprihatinan baginda terhadap pesara kerajaan yang memberi sumbangan bakti mereka kepada kemajuan dan keamanan negara amnya dan kepada negeri.

“Kita juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim apabila bertemu semula dengan rakan yang mungkin sudah lama terpisah,” katanya.

Dalam majlis itu juga, satu direktori kenangan yang mengandungi butir-butir peribadi seperti alamat dan nombor telefon pesara yang hadir turut diberikan kepada pesara yang hadir bertujuan membuka ruang untuk mereka saling berhubung.

Majlis terbabit dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor, diikuti dengan ucapan Mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, mewakili pesara kerajaan dan acara santapan turut diiringi persembahan daripada kumpulan Win Okestra, Sekolah Alam Shah, Putrajaya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.