Categories
SELANGOR

PKNS jimat RM 355 juta melalui Ikrar Integriti Korporat

Oleh: Afeeqa Afeera,

SHAH ALAM, 17 DIS: PKNS mampu membuat penjimatan sebanyak RM355 juta melalui Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang manfaat ini direalisasikan dalam program tanggungjawab sosial korporat (SCR) untuk rakyat Selangor seperti rumah mampu milik.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, berkata sistem CIP memberi manfaat kepada perjalanan proses kerja yang lebih lancar dan berjaya memberi penjimatan berganda kepada kewangan syarikat.

pkns-usahawanKatanya, CIP yang dimeterai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan empat anak syarikatnya membuktikan komitmen perbadanan itu ke arah amalan tadbir urus korporat terbaik, telus dan berintegriti.

“Dengan adanya sistem ini, jenayah rasuah dibanteras dan budaya integriti itu dapat diterapkan ke atas semua kakitangan dengan lebih berkesan.

“Pengalaman PKNS berurusan dengan syarikat luar negara mendapati mereka menekankan sistem integriti diwujudkan kerana adalah trend dalam bisnes global,” katanya dalam sidang media selepas sesi menandatangani CIP di Ibu Pejabat PKNS, di sini, pagi tadi.

DSC_0024aresizeKatanya inisiatif itu adalah salah satu usaha memastikan perjalanan urusniaga dan pentadbiran empat anak syarikat PKNS dibuat dengan tatakelola baik.

Empat anak syarikat itu adalah Selangor Industrial Corporation (SIC), PKNS Infra Berhad (PIB), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan PKNS Holdings Sdn Bhd.

“Kerjasama erat antara PKNS, SPRM dan Transparancy International Malaysia (TI-M) akan diteruskan lagi melalui pemeteraian CIP bersama anak syarikat PKNS,” kata beliau.

Othman, berkata langkah itu bertujuan membuktikan sokongan organisasi itu terhadap usaha Kerajaan Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras gejala rasuah serta salah laku di pejabat.

Hadir sama dalam majlis menandatangani CIP itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Mengulas lanjut, Othman berkata inisiatif menandatangani CIP ini akan turut dilaksanakan kepada anak syarikat milik PKNS lain pada tahun depan.

Terdahulu, PKNS muncul sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pertama yang menandatangani CIP pada 14 November 2012 dan melaksanakan Sistem Integriti Korporat.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.