Categories
NASIONAL

‘Bahasa jalan raya’ boleh buat Najib faham beban rakyat

KUALA LUMPUR 10 JAN: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan kadar kenaikan tol yang belum dimuktamadkan tidak akan membebankan rakyat, sekali lagi mengguris hati rakyat.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, berkata pemimpin BN harus memahami bahasa rakyat bahawa ‘setiap kenaikan adalah membebankan’.

Katanya, pada rakyat tidak ada istilah ‘kenaikan yang tidak membebankan’ dan kenyataan itu hanya keluar daripada mulut menteri BN sejak sekian lama tetapi rakyat yang menanggung beban.

Suhaizan-Kaiat“Kita masih ingat, sebelum pilihan raya dahulu mereka janji akan menurunkan tol secara berperingkat.

“Tetapi hari ini, mereka tidak menunaikan janji itu apabila bertindak mahu menaikkan lagi kadar tol,” katanya yang dipetik daripada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Perdana Menteri semalam, menegaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan berkenaan kenaikan kadar tol dan pertimbangan berhubung perkara itu hanya akan diputuskan selepas kajian makmal secara mendalam dilakukan.

Najib berkata, kajian makmal itu penting kerana kerajaan mahu pendekatan terbaik bagi memastikan ‘pengguna tidak terbeban’ jika pengumuman kadar baru tol terpaksa dibuat kerana penangguhan kenaikan seperti dituntut konsesi sudah dilaksanakan, sejak 2008.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, langkah yang sewajarnya diambil adalah mengkaji untuk menurunkan harga, sekali gus menghapuskan tol pada masa akan datang dan bukannya mengkaji untuk terus dinaikkan jika BN sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat,.

turun8“Inilah yang kita lihat membabitkan kelemahan ketara kerajaan BN hari ini. Semua benda yang dibuat kajian oleh makmal adalah untuk tujuan dinaikkan harga. Petrol naik, tol naik, gula naik, elektrik naik, gas memasak naik, ais naik dan kita jangka beberapa barangan lagi akan naik.

“Ini tidak termasuk kesan berantai daripada kenaikan itu yang menyebabkan kos perkhidmatan, barangan keperluan harian serta harga makanan meningkat mendadak,” katanya.

Beliau juga menegaskan, jika pemimpin BN sukar faham bahasa keluhan rakyat, maka rakyat bersedia untuk menggunakan bahasa ‘jalan raya’ untuk membuat bantahan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.