Categories
NASIONAL

SPRM terus berdiam diri isu kekayaan melampau anak Rosmah

SHAH ALAM 3 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat terus berdiam diri apabila masih gagal menjalankan siasatan berhubung pembelian kondominium mewah bernilai RM110 juta oleh anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata banyak laporan dibuat kepada SPRM berhubung kekayaan melampau Rosmah sebelum ini termasuk isu pembelian cincin berharga RM24 juta, namun sehingga kini tidak ada tindakan diambil.

Shamsul-Iskandar-103Beliau berkata, SPRM perlu tegas terhadap isu itu kerana membabitkan keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu orang yang bertanggungjawab mengurus kekayaan negara.

“Bermula dengan isu cincin, dan sebelum ini kecoh di Parlimen berkenaan Rosmah menggunakan jet ke Qatar, tetapi masih tidak ada tindakan yang diambil SPRM.

“Kini, anaknya pula berbelanja secara melampau sama macam emaknya (Rosmah). Saya tak tahu kalau anaknya juga menabung sama macam …..,” katanya memetik laporan Keadilan Daily, di sini, hari ini.

Sebelum ini, portal Sarawak Report mendedahkan Riza Shahriz Abdul Aziz membeli satu unit kondo berharga RM110 juta (USD33.5 juta) di New York, pada 19 November lalu.

Kondominium terbabit dikatakan antara paling mahal dan eksklusif di dunia, selain mempunyai 15 bilik dengan keluasan 7,738 kaki persegi dengan pemandangan menarik daripada beranda seluas 1,244 kaki persegi.

raziz-cp1Riza Shahriz adalah anak sulung kepada Rosmah daripada perkahwinan pertama dan anak tiri kepada Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa sama, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil turut mendesak SPRM supaya melakukan tindakan lebih serius dengan menyiasat sumber kewangan Riza Shahriz untuk mengenalpasti sama ada berlaku salah guna kuasa membabitkan Rosmah.

“Saya cabar SPRM untuk bertindak, sekurang-kurangnya melakukan tindakan awal dengan mengambil keterangan daripada Riza Shahriz,” katanya.

Laporan media mengatakan lelaki berumur 36 tahun itu bekerja dalam industri perbankan di London dan beliau mengumpul kekayaannya dalam ekuiti serta hartanah.

Anak lelaki Rosmah itu juga memiliki Red Granite yang menerbitkan filem terbaru lakonan bintang Holywood Leonardo DiCaprio, “Wolf of Wall Street”.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.