Categories
NASIONAL

Tuduhan DAP sabotaj BN, mentaliti menteri kekampungan

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 JAN: Tuduhan kononnya golongan peniaga DAP mengadakan sabotaj terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menaikkan harga barang keperluan menunjukkan betapa menteri yang ada di dalam Kabinet Malaysia tidak cerdik dan bermentaliti kekampungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata kenyataan itu juga dilihat sebagai tidak bertanggungjawab kerana peniaga yang dikatakan bertindak sebagai orang tengah dalam pasaran terdiri daripada pelbagai aliran parti politik sama ada DAP, MCA atau Umno sendiri.

Suee Lim berkata, peniaga DAP tidak ada kena mengena dalam isu kenaikan harga barang sama ada petrol, diesel atau daun pisang yang hari ini dilaporkan menyebabkan harga makanan naik.

“Menteri patut ambil maklum bahawa peniaga terpaksa menaikkan harga sebab peningkatan bahan asas seperti petrol, diesel dan tarif elektrik naik. Begitu juga dengan kadar tol yang akan naik sedikit masa lagi.

“Dengan itu, adalah sangat tidak wajar seorang pemimpin bertaraf menteri menyalahkan peniaga dan menuduh orang tengah DAP sedangkan menteri patut tahu harga perlu dinaikkan untuk peniaga terus beroperasi.

ngsueelim“Yang salah dalam isu kenaikan harga barang adalah kerajaan BN yang membiarkan syarikat tertentu memonopoli pasaran, bahkan diizinkan pula untuk terus mengaut keuntungan beratus dan beribu juta ringgit setahun. Hal ini yang menyebabkan rakyat marah,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mendakwa kenaikan harga barang bukan disebabkan kerajaan pusat sebaliknya disebabkan perbuatan sabotaj orang tengah yang kononnya DAP.

Suee Lim turut menyelar sikap pemimpin Umno yang begitu mudah melemparkan tuduhan tanpa menyertakan sebarang bukti dan fakta relevan.

“Berbeza dengan pakatan, seperti tempoh hari Datuk Seri Anwar Ibrahim berbicara berkenaan ekonomi negara yang mana disertakan sekali angka dan fakta. Ini jelas menunjukkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak melatah dan tidak sesekali mengeluarkan tuduhan tidak bertanggungjawab.

“Rakyat sendiri sebenarnya boleh bandingkan, PR dan BN ibarat langit dengan bumi. Umno tuduh tanpa bukti sementara PR sering berbicara dengan fakta dan bukan auta,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.