Categories
NASIONAL

40 stesen cuaca automatik dibina di daerah tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Sebanyak 40 stesen cuaca automatik dibina di setiap daerah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi membantu ketepatan ramalan dan keperluan pembangunan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata dengan adanya stesen itu, lebih banyak pencerapan cuaca dapat dilakukan dan membolehkan ramalan yang lebih tepat.cuaca

“Ketika ini, kita mempunyai 108 stesen cuaca automatik…projek ini sedang dilaksanakan dan bajet telahpun diterima.

“Selain membantu ketepatan ramalan, ia juga satu keperluan pembangunan.

Contohnya, pertanian secara besar-besaran yang memerlukan banyak maklumat untuk kajian kebolehlaksanaan.

“Kita perlukan contoh itu untuk tahu tanaman itu sesuai atau tidak,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan taklimat mengenai “Perubahan cuaca di Malaysia” di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Che Gayah berkata kerajaan telah melaksanakan operasi pembenihan awan di luar kriteria bencana kemarau kerana prihatin masalah air kritikal yang melanda beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

“Harus difahami tahap-tahap kemarau adalah waspada, amaran, bahaya dan penamatan. Status kemarau meteorologi terkini dikategorikan sebagai waspada, namun dijangka tidak menjadi lebih serius.

“Operasi standard prosedur (SOP) untuk kita lakukan pembenihan awan adalah selepas bencana kemarau diisytihar. Buat ketika ini, kita masih belum sampai tahap itu.

“Tetapi kerana musim kering kali ini dan disebabkan masalah air, operasi pembenihan telah dilakukan dan berjaya pada 3 dan 4 Mac lepas dengan hujan lebat di beberapa kawasan,” katanya.

Usaha itu dijayakan Jabatan Meteorologi Malaysia dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melibatkan hampir 8,000 liter air dan 1,200 kilogram garam dengan kos penerbangan sebanyak RM160,000. (Bernama)

Leave a Reply

Your email address will not be published.