Categories
SELANGOR

Dr Wan Azizah: “Saya selesa dipanggil Kak Wan”

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 12 MAC: Walaupun kini bergelar Datuk Seri dan pernah menjadi isteri kepada pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut selesa dikenali dengan panggilan Kak Wan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Dr Wan Azizah yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berkata, panggilan Kak Wan terhadap dirinya menjadikan beliau lebih dekat dengan kehidupan rakyat pelbagai golongan dan peringkat termasuk pengundi di Kajang sendiri.

DSC_0242“Oh ya, memang selesa. Saya rasa panggilan itu sseperti personaliti saya.  Kak Wan itu lebih mesra, lebih rapat dan lebih akrab berbanding panggilan yang lebih formal dengan gelaran yang diberikan Gabenor Pulau Pinang,” katanya ketika menjawab satu soalan dalam wawancara eksklusif Selangor Kini bersama Presiden PKR itu.

Dr Wan Azizah selepas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan dan Umno gara-gara fitnah adalah antara penggerak utama kebangkitan rakyat ketika tercetusnya reformasi, pada 1998.

Kebangkitan beliau menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu banyak mendapat sokongan rakyat biasa yang tidak beliau kenali tanpa mengira aliran politik, bangsa dan agama.

IMG_5976Kegiatan aktivis reformasi ketika itu juga kebanyakannya digerakkan rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan atau agenda tertentu, sebaliknya hanya berminat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan terhadap Anwar dan keluarga.

Keadaan itu menjadikan Wan Azizah dan keluarga banyak bergaul dan semakin rapat dengan rakyat pelbagai lapisan.

Anwar pula selain pernah memangku jawatan nombor satu negara, beliau juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden Umno.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.