Categories
NASIONAL

Tribunal Rakyat syor tubuh jawatankuasa bebas, tentukan persempadan semula

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 25 MAC: Panel Tribunal Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengesyorkan penubuhan satu jawatankuasa bebas bagi menentukan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mengelakkan campur tangan pihak berkepentingan.

Syor itu dikemukakan memandangkan sebelum ini terdapat beberapa pertikaian terhadap persempadanan semula sehingga mengakibatkan pertambahan pengundi di sesebuah kawasan yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Pengerusi Tribunal, Profesor Yash Pal Ghai dari Kenya, berkata jawatankuasa itu perlu bebas dan pakar serta menghantar semua laporan kepada Dewan Rakyat kerana dapat meringankan beban Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta mengukuhkan lagi badan berkenaan.

IMG_7413a“Pertimbangan dalam menentukan ahli jawatankuasa perlu dibuat mengikut majoriti Parlimen atau menyerahkan keputusan akhir kepada badan berkelayakan.

“Sebarang perubahan kepada cadangan yang dikemukakan dalam laporan badan bebas itu hanya boleh dibuat dengan undi majoriti di Dewan Rakyat atau keputusan muktamad diputuskan oleh pakar.

“Terdapat kecurigaan terhadap ciri bagi menentukan masa persempadanan semula boleh dilakukan. Persempadan semula sewajarnya dilakukan selepas setiap bancian dilaksanakan.

“Kita mencadangkan langkah itu (selepas setiap bancian) diguna pakai dan Perlembagaan dipinda untuk membolehkan pelaksanaan cadangan itu,” katanya dalam sesi pembentangan, di sini, hari ini.

Perkara itu turut disokong panel Tribunal, Profesor Ramlan Surbakti dari Indonesia yang menyatakan perkara itu sudah dilakukan di negaranya dan beliau adalah salah seorang daripada ahli jawatankuasa berkenaan, pada tahun 2011.

IMG_7428a“Antara ciri yang perlu ada untuk menjadi ahli adalah berintegriti, tidak terikat dengna parti politik lima tahun sebelum penubuhan dan mempunyai ciri kepimpinan.

“14 nama dicadangkan tapi tujuh orang daripadanya dipilih untuk menyertainya. Setakat ini, tujuh individu berjaya mengendalikan pilihan raya dengan baik dan harap ia akan berterusan,” katanya.

Panel tribunal terbabit turut disertai tiga lagi pakar dari Malaysia iaitu Datuk Azzat Kamaludin, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen Shastri, selain beberapa individu juga dipanggil ketika proses pendengaran termasuk pihak polis, orang awam, wakil parti serta petugas media.

Tribunal PRU-13 dibuat bagi menyiasat kepincangan yang berlaku dalam pilhan raya berkenaan sehingga mengakibatkan beberapa kontroversi timbul dan antara perkara yang dikaji adalah membabitkan pembersihan daftar pemilih, akses media, penggunaan jentera kerajaan dan dakwat kekal.
-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.