Categories
NASIONAL

Anwar: “Beri kami lebih banyak masa untuk bincang isu hudud”

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 29 APRIL: Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya diberi lebih banyak masa untuk membincangkan rancangan PAS yang konsisten ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Beliau berkata, persetujuan tiga parti komponen PR termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) amat penting apabila membabitkan perkara terbabit.

“Beri kami lebih banyak masa untuk berbincang berkenaan perkara ini (hukum hudud),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

anwar1Anwar berkata, hukum hudud bukan sebahagian daripada agenda PR seperti yang dipersetujui dalam perjanjian permuafakatan bersama antara tiga parti.

“Perjanjian yang ditandatangani pada 28 September 2011 memberikan penekanan terhadap Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

“Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) berlaku sebelum penubuhan PR. PKR dan PAS menghormati perbezaan pendirian DAP dalam perkara ini,” katanya.

Anwar berkata, pelaksanaan hukum hudud memerlukan sebuah institusi yang bersedia ke arah itu.

“Kita tidak boleh membayangkan situasi apabilacuba laksanakan sesuatu yang dianggap penting kepada agama, tetapi tiada institusi untuknya,” katanya.

Isu hudud kembali hangat diperkatakan apabila Kelantan konsisten untuk melaksanakan Enakmen Syariah Kelantan II yang diumumkan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yackob.

Namun, DAP menolak pelaksanaan hukum hudud yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan nasional dalam PR.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.