Categories
SELANGOR

Bantah projek 33 tingkat: Penduduk Damansara Damai lega keputusan MBPJ

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 21 APRIL: Penduduk Damansara Damai lega berikutan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan mengeluarkan kebenaran kepada pemaju bagi membina projek pembinaan pangsapuri 33 tingkat selagi laluan kedua ke kawasan terbabit tidak dibina.

Pegerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Saujana, Nazri Ismail berkata, penduduk di Damansara Damai juga berharap janji yang diberikan Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad kepada ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong itu dikotakan.

MBPJ“Kami mengalu-alukan keputusan ini sebab memang ini yang kita harapkan dan harap dia dapat kotakan janji ini demi kepentingan masyarakat di sini.

“Kami juga berharap, bukan cuma projek 33 tingkat sahaja tetapi projek-projek lain di sini juga hendaklah ditangguhkan sehingga laluan kedua disiapkan,” kata Nazri Ismail ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Mengulas peranan yang dimainkan pejabat ADUN Bukit Lanjan, Nazri mengucapkan terima kasih kepada Elizabeth Wong yang sanggup bersama penduduk dalam bantahan yang diadakan pada minggu lepas.

“Peranan, sokongan yang dimainkan oleh Yang Berhormat (YB) kami sangat bermakna kepada kami.

“Beliau berjaya mengadakan rundingan dan mendapatkan persetujuan dari Datuk Bandar untuk menangguhkan projek ini sehingga laluan kedua dibina. Terima kasih kepada beliau,” kata Nazri lagi.

Pada Ahad lalu, kira-kira 150 penduduk Damansara Damai mengadakan bantahan aman di hadapan persimpangan lampu isyarat Apartment Saujana dan Apartment Idaman sejak jam 10.00 pagi tadi bagi membantah projek pembinaan pangsapuri 33 tingkat.

Dalam bantahan itu, Elizabeth Wong turut hadir dan mengumumkan persetujuan MBPJ untuk tidak mengeluarkan kebenaran merancang di Damansara Damai sehingga laluan kedua dibina.

Pembinaan projek terbabit didakwa bakal menyebabkan kepadatan penduduk di Damansara Damai bertambah sekaligus memburukan lagi isu gejala sosial dan kesesakkan lalu lintas khususnya di waktu kemuncak di sebelah pagi.

Damansara Damai yang dianggarkan mempunyai populasi penduduk melebihi 80,000 orang turut berkongsi laluan tunggal itu bersama penduduk Saujana Damansara, Sutera Damansara dan Prima Damansara.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.