Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri sedia mendedahkan kepada orang ramai status kandungan kimia yang terdapat dalam Kolam Hang Tuah yang juga bekas kolam lombong.
Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata setakat ini segala ujian yang dijalankan terhadap sampel diambil menunjukkan air berkenaan selamat digunakan.
Katanya, sampel yang diambil juga dianalisa secara menyeluruh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
“Kerajaan Negeri sama sekali tidak keberatan untuk berbuat demikian (mendedahkan hasil ujian sampel) kepada orang ramai.
“Tiada apa untuk diselindungkan dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media khas kapasiti air empangan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas terdapat permintaan untuk Kerajaan Negeri mendedahkan hasil analisa kandungan kimia Kolam Hang Tuah.
Dengan perkembangan hasil ujian yang memberansangkan, Yunus berkata, pengepaman air kolam ke dalam Sungai Selangor akan diteruskan bagi membantu meningkatkan aliran air sungai untuk keperluan loji pembersihan air (LPA).
“Ujian menunjukkan sampel adalah negatif bagi unsur Leptospira (Kencing Tikus) dan mematuhi parameter kurang daripada 5000 MPN (Most Probable Number) bagi unsur bakteria.
“Ia juga mematuhi parameter kandungan kimia yang ditetapkan JKNS,” katanya.
-NFN-