Categories
SELANGOR

RM100,000 menanti warga PJ

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 21 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2014 bagi menggalakkan komuniti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu melahirkan persekitaran kediaman yang mampan.

Anugerah berprestij yang diadakan buat kali ke-13 itu diadakan di bawah Program Agenda Tempatan 21 dan dibuka kepada Persatuan Penduduk, Jawatankuasa keselamatan kampung (JKKK) dan rukun tetangga komuniti di Petaling Jaya.

1Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar berkata, anugerah tahunan yang dianjurkan MBPJ itu juga menawarkan hadiah lebih RM100,000 termasuk hadiah untuk empat kategori yang dipertandingkan.

“Bagi Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya 2014 kali ini, saya menyeru agar semua komuniti dan masyarakat di Petaling Jaya supaya menyertai anugerah ini dan bersama-sama berganding bahu ke arah mewujudkan persekitaran yang mampan di Petaling Jaya.

“Diseru Ahli Majlis lain supaya memainkan peranan menggalakkan komuniti di kawasan masing-masing supaya menyertai anugerah ini,” kata Halimey ketika merasmikan Anugerah Perdana Komuniti Mampan 2014 di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Pemenang pertama anugerah itu membawa hadiah geran pembangunan bernilai RM50,000, tempat kedua geran pembangunan bernilai RM25,000 dan diikuti tempat ketiga geran pembangunan bernilain RM10,000.

Selain itu, bagi Anugerah Inisiatif yang terbahagi kepada kategori Alam Sekitar, Ekonomi Berdaya Saing, Budaya dan Komuniti, Habitat Berdaya Huni dan Tadbir Urus Baik pula masing-masing bakal membawa pulang geran pembangunan bernilai RM3,000 dan setiap penyertaan juga bakal menerima inisiatif penyertaaan bernilai RM1,000.

Para pemenang juga akan membawa pulang Piala Pusingan Datuk Bandar, sijil penghargaan dan cederahati iringan.

Setiap kumpulan komuniti yang berminat untuk menyertai anugerah ini boleh berbuat demikian sebelum tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai nanti.

Angggota panel anugerah terbabit, Sonny Lim berkata perserta dikehendaki menyediakan laporan dalam tempoh tiga bulan sebelum anggota panel melawat kawasan komuniti terbabit dan keputusan akan dikeluarkan pada bulan Disember nanti.

“Semua jenis kediaman berpeluang menang walaupun pangsapuri kos rendah. Kalau kita tengok tahun lepas juga kediaman kos rendah menang.

“Dan antara faktor kejayaan mereka lazimnya mereka mempunyai komuniti yang bermuafakat, bersatu dan ada kepimpinan persatuan yang ada hala tuju mereka,” kata Sonny dalam sidang media pelancaran anugerah itu.

Anugerah Perdana Komuniti Mampan Petaling Jaya tahun lalu dimenangi Persatuan Penduduk Apartment Idaman (IRAS), Damansara Damai; kedua, Persatuan Penduduk Blok 3, Desa Mentari dan ketiga Rukun Tetangga Taman Gasing Indah, Petaling Jaya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.