Categories
SELANGOR

Program Hutan Kita jaringan hijau imbang pembangunan fizikal bandar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil inisiatif menganjurkan Program Hutan Kita bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat berkenaan kepentingan alam semula jadi.

Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainudin, berkata MPK melalui Jabatan Taman Dan Rekreasi sangat komited dalam aspek kehijauan setempat.

Katanya, hal itu merangkumi penanaman pokok untuk keindahan bandar diraja dan pada masa sama komited dalam usaha melestarikan kawasan sekitar melalui kerjasama baik semua pihak.

“Sehingga kini, program Hutan Kita berkembang ke seluruh negara dengan pembabitam di kawasan sekolah, hospital, taman rekreasi dan hutan paya bakau,” katanya kepada Selangor Kini.

mpkProgram yang dianjurkan bersama Landskap Malaysia di Taman Rakyat, Klang itu turut menitikberatkan bahawa hutan adalah satu khazanah alam yang penting terutama kepada generasi akan datang.

Ia dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat berkenaan kepentingan alam semula jadi.

Sehubungan itu, Zaireezal berkata, masyarakat perlu sentiasa menghargai kepentingan hutan, di samping mewujudkan pembangunan masyarakat sihat dengan pembabitan komuniti yang bersama menanam pokok di majlis berkenaan.

Zaireezal berkata, Program Hutan Kita juga bertindak sebagai ‘green lung’ yang menjadi salah satu jaringan hijau bagi mengimbangi pembangunan fizikal di kawasan bandar.

“Program ini bertujuan untuk menyokong komitmen kerajaan pada Persidangan Iklim di Copenhagen pada tahun 2009 untuk mengurangkan 40 peratus karbon dioksida menjelang 2020 dan kempen menanam 26 juta pokok menjelang 2014,” katanya.

Hadir sama pada program itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Cham Khim; Setiausaha MPK, Ehsan Mukri dan Pengurus Besar Landskap Malaysia, Othman Sulieman.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.