Categories
NASIONAL

Ramachandran umum sokong Saifuddin tanding Timbalan Presiden PKR

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Selepas mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk K Ramachandran hari ini mengumumkan akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Saifuddin Nasution.

Beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR, berkata Saifuddin adalah calon paling sesuai untuk membawa parti itu ke mercu kejayaan bersama Pakatan Rakyat (PR) menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau turut berpandangan Saifuddin adalah satu-satunya calon Timbalan Presiden yang bercakap dan menyuarakan bantahan terhadap kerajaan dalam usaha memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

K-Ramachandran“Lantaran itu, dengan ini saya memberi komitmen dan menyokong sepenuhnya calon Saifuddin sebagai pemegang jawatan nombor dua dalam parti. Saya turut menyeru semua anggota PKR menyokong Saifuddin,” katanya.

Pada masa sama, Ramachandran turut meminta anggota parti daripada kaum India untuk tidak mengamalkan slogan kempen anggota India dengan hanya memilih anggota daripada kaum itu sahaja.

Katanya, kaum India harus membuka ruang kepada semua kaum dan memilih pemimpin yang dirasakan terbaik.

Penarikan Ramachandran, sekali gus menyaksikan persaingan jawatan kedua tertinggi parti itu adalah di antara Saifuddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan penyandang Timbalan Presiden, Azmin Azli.

Terdahulu, calon nombor empat S Murali mengikut jejak langkah Tian Chua mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai Timbalan Presiden.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.