Categories
SELANGOR

3 lagi anak syarikat PKNS bakal tandatangan Ikrar Integriti Korporat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 MEI: Tiga lagi anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai langkah ke arah tadbir urus korporat terbaik dan telus, pada 14 Mei ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata langkah itu adalah kesinambungan daripada empat anak syarikat PKNS sebelum ini yang sudah memeterai perjanjian berkenaan, pada Disember 2013.

Empat anak syarikat berkenaan adalah Selangor Industrial Corporation (SIC), PKNS Infra Berhad (PIB), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan PKNS Holdings Sdn Berhad (PHSB). Manakala tiga lagi anak syarikat yang bakal memeterai CIP adalah Selaman Sdn Bhd, PKNS Engineering and Construction Berhad (PECB) dan DatumCorp International (DCI).

pkns-logo“PKNS yang bakal mencecah usia 50 tahun, pada 1 Ogos ini turut berhasrat untuk menjadikan perbadanan ini sebagai organisasi yang mengamalkan sistem pentadbiran berintegriti secara menyeluruh, termasuk melaksanakan Sistem Integriti Korporat (CIS) di semua anak syarikatnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, PKNS muncul sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pertama yang menandatangani CIP pada 14 November 2012 dan melaksanakan CIS.

Pada masa sama, Ishak berkata, PKNS akan menganjurkan Minggu Integriti mulai 8 hingga 15 Mei ini bagi mempromosi budaya integriti di kalangan warga kerja perbadanan itu, pelanggan dan orang awam.

Katanya, di samping meningkatkan kepercayaan pelanggan dan orang ramai terhadap amalan integriti serta tadbir urus korporat terbaik PKNS, langkah terbabit juga diambil bagi menggalakkan bisnes dan kerjasama perbadanan itu dengan organisasi daripada sektor awam serta swasta.

“Kita berharap program tahunan ini dapat memupuk budaya kerja berintegriti dan melahirkan warga kerja PKNS yang berprestasi dalam menjalankan tugas seharian.

“Minggu Integriti PKNS yang pertama kali diadakan pada 2013 ini juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran jangka panjang bagi mewujudkan nilai positif dan pengurusan tadbir urus yang lebih efisyen dan berintegriti,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.