Categories
SELANGOR

PPR Kota Damansara: Hanya yang layak dapat pengecualian kenaikan sewa

Oleh: NORFARAHIDAYU BAHARUDDIN

PETALING JAYA, 22 MEI: Hanya penyewa yang layak dikecualikan daripada dikenakan kenaikan sewa di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara seperti ditetapkan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSS).

Penolong Pengurus PHSS, Fadliah Abdul Razak, berkata bancian dan kajian dibuat bagi mengenalpasti golongan sasaran yang layak untuk tujuan itu.

Katanya, 312 penyewa dikesan layak mendapat kemudahan itu dan dikecualikan daripada pelarasan kadar bayaran sewa RM124 kepada RM250 berdasarkan kajian yang dilaksanakan.

3v“Bermula Julai 2013, pihak kami membuat tapisan melalui kajian serta bancian yang dijalankan daripada pintu ke pintu untuk mendapatkan maklumat penyewa di kawasan perumahan itu.

“Kajian itu termasuk tapisan kadar sewa, mengemaskini borang maklumat penyewa dan temuduga bersama penduduk,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Fadliah berkata, pihaknya mengambil kira jumlah pendapatan isi rumah bukan pendapatan penyewa rumah dan keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada pengurusan PHSS, pada Mac lalu.

“Ini tidak adil kepada semua jika di dalam sebuah rumah ada tiga buah keluarga tinggal bersama dan jumlah pendapatan mereka melebihi RM4,000 tetapi masih mahu dikenakan kadar sewa RM124 sebulan,” katanya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad juga sudah mengunjungi kawasan PPR itu dan berkata Kerajaan Negeri hanya mengenakan kadar kenaikan yang baru kepada mereka berpendapatan RM1,500 ke atas.

6vSelain itu, Iskandar juga akan mengemukakan cadangan dalam Mesyuarat Exco untuk membuat pengecualian kenaikan ke atas mereka yang memiliki gaji RM1,500 ke atas, namun mempunyai empat tanggungan, golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

PPR Kota Damansara mempunyai 1,152 buah unit dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air, namun kira-kira 500 pemohonan masih lagi menunggu untuk proses kemasukan.

Baru-baru ini, beberapa penduduk mengadakan bantahan secara aman bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan bagi membantah kadar sewaan yang dikenakan terhadap mereka.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.