Categories
SELANGOR

Klinik Guaman Pusat Wanita Berdaya jadi medium perlindungan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 JUN: Klinik Guaman Pusat Wanita Berdaya (PWB) diwujudkan di bawah portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Negeri Selangor bagi membantu kaum wanita mendapat rujukan terhadap sebarang kes atau isu yang menimpa mereka dalam kehidupan seharian.

Klinik yang mula dilaksanakan sejak 2013 menjadikan Batu Tiga sebagai perintis dengan menawarkan perkhidmatan guaman profesional yang dipilih pelanggan sendiri.

Exconya, Rodziah Ismail, berkata sehingga kini klinik berkenaan sudah menerima 15 laporan kes antaranya kes kemalangan yang sukar mendapat pampasan insuran, tidak mendapat pengiktirafan sebagai golongan kelainan upaya (OKU), penipuan dalam pengeluaran passport warga asing dan keganasan rumah tangga.

KG1M DUNGUN 1Beliau berkata, usaha reaktif Klinik Guaman itu adalah bagi memberi advokasi kepada golongan wanita setempat berkenaan undang-undang, peraturan dan prosedur yang perlu diketahui untuk melindungi diri mereka serta mendapat hak yang sepatutnya.

“Dalam menangani pelbagai permasalahan wanita, perlu juga diiringi dengan sesi kaunseling bagi membimbing wanita dan keluarga yang bermasalah untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh memberikan ketenangan dan harapan masa depan lebih baik untuk pihak terbabit.

“Kebiasaannya, wanita tidak tahu ke mana hendak diadukan atau mendapat tunjuk ajar berkenaan apa yang sedang dihadapinya dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Oleh sebab itu, kita menyediakan Klinik Guaman ini supaya wanita mudah untuk mendapat nasihat daripada pakar panelnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu tiga berkata, Kilinik Guaman PWB perlu disokong oleh usaha proaktif, advokasi, kaunseling dan proses pembuatan keputusan yang peka gender membabitkan golongan legislatif, eksekutif, peringkat kerajaan tempatan dan pejabat daerah Selangor.

Beliau juga berpandangan wanita wajar berada dalam jaringan wanita setempat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan saling membantu serta menyokong sesama sendiri.

rodziah“Ia boleh memberi motivasi, semangat dan menerbitkan idea baru bagaimana untuk mengatasi cabaran yang dihadapi juga membentuk kehidupan diri, keluarga serta masyarakat dengan lebih baik.

“Wanita sering cepat berputus asa kerana sistem yang sarat dengan birokrasi dan memakan masa yang amat panjang untuk diselesaikan.

“Ramai wanita merasakan tidak mampu untuk mendapatkan apa yang menjadi hak mereka kerana prosesnya memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Kilinik Guaman di PWB Batu Tiga itu dibuka setiap hari Sabtu bermula jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 03-55212342 atau 03-5519 0600 untuk mendapatkhidmat kaunseling.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.