Categories
NASIONAL

Piala Dunia: Pasukan pilihan Najib Razak tersingkir awal

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 19 JUN: Pasukan pilihan Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjadi juara Piala Dunia 2014 terkeluar paling awal dalam edisi kali ini apabila tumpas kepada Chile 2-0.

Sepanyol yang juga juara bertahan menjadi pilihan Perdana Menteri pada kejohanan Piala Dunia kali ini walaupun beliau mengakui lebih meminati pasukan England.

Kemenangan bersejarah Chile menyaksikan pasukan itu bakal mengiringi Belanda untuk ke pusingan kalah mati selepas meraih dua kemenangan.

imageResizeAnak buah Vicente Del Bosque (Sepanyol) itu melakukan rombakan di bahagian pertahanan apabila Gerard Pique diletakkan dibangku simpanan, selain terus meminggirkan Xavi tetapi mengekalkan Diego Costa dan Iker Casillas.

Namun, jelas keyakinan Sepanyol masih goyah apabila hampir menjaringkan gol sendiri seawal minit pertama.

Kegusaran itu menjadi kenyataan apabila juara bertahan itu menerima tamparan selepas Eduardo Vargas meledak gol pertama hasil kesilapan benteng Sepanyol ketika perlawanan berusia 19 minit.

Pada minit ke-43, Chile menambah luka Sepanyol dengan jaringan kedua mereka akibat kegagalan Iker Casillas menumbuk bola ke kawasan selamat yang mengakibatkan bola singgah tepat di kaki Charles Aranguiz yang begitu tenang menyempurnakan peluang itu.

Kini Sepanyol akan beraksi dalam perlawanan berikutnya bertemu Australia dengan harapan mengelak untuk mengulangi pencapaian buruk Perancis pada 2002 dan Itali 2010.

KL33_150911_PERUTUSANKemenangan itu manis untuk sebuah negara yang kalah kepada Sepanyol pada tahun 1950 dan 2010 Piala Dunia, apatah lagi hampir tiga abad pemerintahan penjajahan Sepanyol.

Patricio Tapia, seorang pekerja lombong tembaga berusia 45 tahun, berkata perlawanan itu mengingatkan Perang Arauco apabila rakyat Mapuche mempertahankan Chile daripada penjajahan Sepanyol selama 300 tahun di selatan Chile.

“Sepanyol menakluk orang Maya, Aztec dan Inca, tetapi mereka tidak dapat memenangi Perang Arauco sama seperti Mapuche, kami sengit di atas padang,” katanya dipetik AFP.

Leave a Reply

Your email address will not be published.