Categories
SELANGOR

Program 10,000 langkah Selangor, giat usaha galak hidup sihat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Selangor sedang mempergiat usaha menggalakkan orang ramai khususnya rakyat di negeri itu supaya menjalani hidup sihat melalui pelbagai aktiviti riadah bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.

Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan melancarkan program 10,000 Langkah di bawah portfolio kesihatan membabitkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi merealisasikan hasrat itu.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata ia adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri menjadikan rakyat Selangor sihat dengan memilih aktiviti paling mudah, murah dan tidak berisiko.

daroyahKatanya, setakat ini lima PBT sudah melaksanakannya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sejak dilancarkan, pada Februari lalu.

“Kita yang mengembalikan semula program ini walaupun ia sudah dilancarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada dua atau tiga tahun lepas, namun tiada kesinambungan.

“Jadi, apabila saya ambil alih (portfolio kesihatan), perkara ini perlu dijalankan semula sebagai salah satu program kesihatan untuk rakyat Selangor yang dilaksanakan melalui PBT.

“Bila kita mulakan (program ini) baru KKM sedar dan hendak buat semula,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri turut melancarkan kempen Kayuhan Jantungku iaitu program kayuhan basikal secara santai untuk semua peringkat umur.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga kini sedang merancang beberapa program lain untuk rakyat Selangor antaranya membabitkan pemakanan sihat dan penjagaan kesihatan.

MBPJ Program Warga Emas Sihat 01“Orang ramai mula tunjuk minat dan menghayati aktiviti yang kita sedang lancarkan. Untuk program fasa kedua, kita akan memfokuskan memberi motivasi atau penerangan penjagaan kesihatan, pemakanan sihat, jenis penyakit berkenaan dengan pemakanan dan cara hidup sihat,” katanya.

Sebelum ini, KKM berhasrat akan terus mempergiatkan kempen besar-besaran bagi mengubah cara hidup rakyat di negara ini bagi mengatasi penyakit tidak berjangkit.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata peningkatan penyakit tidak berjangkit adalah paling tinggi di Asia dan Malaysia seperti penyakit diabetes dan psikiatri di kalangan kanak-kanak serta remaja.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.