Categories
KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Selangor sokong kenyataan Iskandar

Oleh: SYARHAN HUMAIZI ABDUL HALIM

Susulan daripada kekalutan isu Menteri Besar Selangor mutakhir ini, Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) ingin menegaskan beberapa perkara yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian DPPNS semalam.

DPPNS menyokong penuh kenyataan YB Persuruhjaya PAS Selangor Ir Iskandar Samad yang dipaparkan dalam Berita Harian bertarikh 23 Julai 2014 dengan tajuk ” PAS Selangor mahu Khalid Kekal “, yang menunjukkan kematangan beliau dan PAS Selangor dalam memperlihatkan sikap kebertanggungjawaban bagi mempastikan kesatabilan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor dalam keadaan yang terbaik dengan mengambil kira fokus sebenar Pakatan Rakyat ialah membela nasib rakyat di Selangor.

DPPNS juga menyokong penuh kenyataan YAB Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor yang bertarikh 22 Julai 2014  ” Penggantian dan Perlantikan Menteri Besar Perlu Patuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri “, yang memperingatkan semua pihak bahawa walau apa jua pun tindakan yang membabitkan pertukaran Menteri Besar Selangor perlu selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu difahami dalam konteks yang sebenar.

DPPNS ingin menegaskan bahawa kita tidak boleh sesekali menafikan kecemerlangan perkhidmatan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam mengemudi Selangor hingga ke tahap yang lebih baik berbanding Menteri Besar BN terdahulu yang secara tidak langsung rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat apabila menang mempertahankan Selangor pada PRU13 yang lepas.
Tindakan menukar Menteri Besar juga perlu diperhalusi dengan cermat melalui persefahaman bersama Pakatan rakyat serta mengambil kira sentimen setiap pihak yang berkait dengan proses Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri termasuk pihak Istana. Menjustifikasikan tindakan beralasan  memperkukuhkan kestabilan PKR semata-mata bukanlah alasan yang terbaik dalam memperjudikan kepercayaan rakyat yang terbina selama ini kepada Pakatan di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

DPPNS mengingatkan kepada pihak yang bersungguh dalam ‘movement’ ini agar tidak gopoh hanya kerana ingin meraih untung secupak tetapi rugi segantang. Amanah yang terhampar untuk kita fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat jangan dipersiakan, ayuh kita usahakan agar Pakatan Rakyat sentiasa terkehadapan dalam menunaikan tanggung jawab ini.

# Syarhan Humaizi Abdul Halim  adalah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.