Categories
SELANGOR

Kuari macam ‘gempa bumi’ jejas penduduk Taman Kajang Perdana

Oleh: NORHAYATI UMOR

KAJANG, 11 JULAI: Penduduk sekitar Taman Kajang Perdana hidup dalam kebimbangan ekoran sebuah kuari beroperasi berhampiran kawasan kediaman mereka sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk mendakwa berasa tertekan dengan masalah habuk dan debu serta kesan kesan gegaran bahan letupan daripada kuari itu yang diibaratkan ‘gempa bumi’.

Kira-kira 1,000 penduduk berasa terancam kerana bukan sahaja merosakkan harta benda, bahkan mengancam keselamatan dan kesihatan mereka serta kecewa dengan janji yang ditaburkan pemaju sebelum mereka membeli rumah di kawasan terbabit.

20140623_154900Penduduk, Charles Lourdisamy, 40, berkata tapak kuari dan kilang memproses bahan terbabit sudah beroperasi sejak beliau menetap di kawasan itu pada 2006.

Katanya, beliau berasa tertipu kerana sebelum ini pemaju menjanjikan kawasan perumahan yang tenang, aman dan cantik.

“Namun, janji hanya tinggal janji. Pemaju tidak memaklumkan adanya tapak kuari berkenaan.

“Kami sudah penat berdepan dengan masalah ini. Tapak projek itu menimbulkan banyak masalah kepada penduduk setempat seperti bunyi bising, habuk dan bau yang kurang menyenangkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, kewujudan kuari itu turut mengundang masalah kebanjiran warga asing yang menjadi pekerja di kuari berkenaan.

20140623_154919“Keadaan ini benar-benar membuat kehidupan kami sudah tidak selamat dan selesa. Penduduk bimbang dengan masalah warga asing itu juga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah terbabit dengan secepat mungkin.

Sebelum ini, penduduk Taman Kajang Perdana 2, pernah membuat bantahan berhubung aktiviti tapak kuari yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan mereka itu.

Mereka mendakwa aduan sudah banyak kali dilakukan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pemaju perumahan namun tiada maklum balas.

Mereka mendesak pihak berkuasa tempatan itu mengambil perhatian dan tindakan serius supaya kuari itu segera ditutup demi keselamatan dan keselesaan.

Difahamkan, kuari itu wujud kira-kira 23 tahun lalu sebelum kawasan perumahan teres dua tingkat itu dibangunkan pada penghujung 90-an.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.