Categories
SELANGOR

Selangor jamin sumber air cukup menjelang musim perayaan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Selangor akan memastikan kuantiti sumber air mencukupi untuk Loji Pembersihan Air (LPA) beroperasi pada tahap maksima terutama menjelang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil beberapa langkah memastikan air dapat dibekalkan kepada rakyat terutama musim perayaan ini walaupun ada penurunan di semua empangan akibat cuaca kering.

“LUAS sedang memaksimakan penggunaan air kolam alternatif di Bestari Jaya melalui operasi pengepaman yang berjalan selama 24 jam.
Operasi ini dilakukan petugas yang terdiri daripada LUAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_3“Ini adalah untuk memastikan kuantiti air Sungai Selangor memenuhi keperluan muka sauk dan juga LPA terutama di musim perayaan yang bakal tiba,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, 20 pam dipasang untuk mengepam air dari kolam ke dalam sungai, manakala tujuh buah pam lagi untuk mengepam air sungai ke dalam kolam ketika aliran tinggi.

Beliau berkata, bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar tanpa gangguan, sebuah bilik gerakan operasi pengepaman air kolam altenatif diwujudkan di bangunan berdekatan dengan kawasan kolam terbabit sebagai pusat pemantauan operasi oleh pasukan petugas.

“Pada masa sama perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan juga bantuan pihak Polis Diraja Malaysia PDRM) digunakan untuk memastikan keselamatan pasukan petugas dan juga operasi,” katanya.

Dr Yunos berkata, walaupun dijangka ada pengurangan penggunaan air ketika awal musim perayaan disebabkan warga kota yang akan pulang ke kampung, namun operasi pengepaman air kolam akan terus dijalankan untuk memastikan tangki imbangan dapat dipenuhkan untuk menampung peningkatan penggunaan selepas cuti perayaan.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_1Mengulas berkenaan paras air empangan di Selangor yang terus mengalami pengurangan, Dr Ahmad Yunus menyatakan pihaknya sudah memohon perkhidmatan pesawat daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan pada skala lebih besar dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sedang menunggu maklum balas daripada MKN berkenaan perkara itu. Dengan cuaca semasa yang panas dan kering, operasi pembenihan awan ini akan dilakukan mengikut kesesuaian atas nasihat pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET),”katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyeru pengguna supaya sentiasa bijak dan berjimat dalam penggunaan air di musim perayaan ini, terutama ketika cuaca panas dan kering yang sedang dialami.

Setakat jam 8 pagi tadi, paras air di empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan 35.69 peratus.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.